Isnin, Mac 23, 2009

TANDA-TANDA 'CINTA'

Apabila seseorang itu dicintai oleh Allah, nescaya Allah akan melindungi dan menolongnya menghadapi musuh-musuhnya, iaitu dirinya sendiri dan nafsu syahwatnya. Bak kata orang tua-tua, musuh utama kita adalah diri sendiri. Berwaspadalah. Sesungguhnya Allah sajalah yang lebih mengetahui musuh-musuh kita.

Allah Taala berfirman:

وَاللّهُ أَعْلَمُ بِأَعْدَائِكُمْ وَكَفَى بِاللّهِ وَلِيًّا وَكَفَى بِاللّهِ نَصِيرًا

“Dan Allah lebih mengetahui musuh-musuh kamu dan cukuplah Allah menjadi Pelindung dan cukuplah Allah menjadi Penolong.”

(An Nisa’ : 45)

Marilah kita rasakan Tuhan itu Pelindung

Marilah kita rasakan Tuhan itu Penjaga

Marilah kita rasakan Tuhan itu Pengawal

Marilah kita rasakan Tuhan itu Pembela

Marilah kita rasakan Tuhan itu Penyelamat

Marilah kita rasakan Tuhan segala-galanya

Rasa-rasa ini mendorong kita cinta kepada Tuhan

Rasa-rasa ini menjadikan kita takut kepadaNya

Rasa-rasa ini membawa kita malu kepadaNya

Rasa-rasa ini mendorong kita merasa kuat denganNya

Juga rasa-rasa ini mendorong kita berani yang tiada taranya

Kerana Pelindung dan Pembela kita itu Maha Agung dan Berkuasa

Maha Berkehendak dan kehebatanNya tiada siapa boleh menolak

Siapa yang merasa seperti yang dikatakan

Waktu seorang merasa ramai

Di waktu ramai bertambah lagilah dirasakan ramai

Rasa-rasa inilah kita pandang, makhluk tiada kuasa apa

Walau bagaimana besar kuasa dan pengikutnya

Kita akan merasakan semua ini sama saja dengan kita

Tidak ada mempunyai apa-apa kuasa dan daya

Di hadapan Tuhan sama sahaja

Bahkan kita berani dan tegas menegakkan kalimah Allah

Di sinilah betapa perlunya kita merasa akan bertuhan

Adakah perbuatan maksiat itu berlawanan dengan kecintaan? Apakah orang yang melakukan maksiat itu tidak mencintai Allah?

Menurut Imam Al Ghazali, perbuatan maksiat itu tidak bertentangan dengan kecintaan kepada Allah SWT, tetapi ia bertentangan dengan ‘kesempurnaan’ kecintaan tersebut. Seorang yang sering mencuri tidak boleh terus dihukum tidak mencintai Allah, cuma kecintaannya kepada Allah itu tidak sempurna.

Bukankah banyak manusia yang berpenyakit menyebabkan dia inginkan atau cintakan hidup yang sihat, tetapi dalam masa yang sama dia masih memakan makanan yang sepatutnya pantang dimakan? Adakah dengan mengambil makanan ‘pantang’ itu menghilangkan kecintaannya kepada sihat? Sudah tentu tidak. Dia masih cintakan kesihatan dan cintakan tubuh badannya sendiri cuma kecintaannya itu tidak sempurna.

Sebahagian orang-orang al ariffin (yang bermakrifah) mengatakan: “Apabila iman itu ada pada zahiriah hati, nescaya seseorang itu mencintai Allah Taala dengan kecintaan yang sederhana. Apabila iman itu masuk ke dalam jantung hati, nescaya seseorang itu mencintai Allah Taala dengan kecintaan yang amat sangat, dan dia akan meninggalkan segala perbuatan maksiat.”

Fahamlah kita, kecintaan kepada Tuhan itu mempunyai peringkat-peringkat yang tertentu. Peringkat yang tertinggi adalah ‘Cinta yang sempurna’ iaitu melaksanakan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang ditegah.

Cinta itu juga berbahaya. Sebab itulah Al Fudhail pernah berkata: “Apabila ditanyakan kepada engkau, adakah engkau cintakan Allah Taala? Maka diamlah. Sesungguhnya jikalau engkau menjawab ‘tidak’, nescaya engkau menjadi kufur. Dan jika engkau menjawab ‘ya’, maka engkau sebenarnya tidaklah bersifat dengan sifat-sifat orang yang mencintai-Nya. Maka jagalah akan kutukan.”

Sebahagian ulama berkata: “Di dalam syurga, tidak ada nikmat yang lebih tinggi daripada nikmat orang yang bermakrifah dan bercinta. Sementara di dalam neraka jahannam tiada azab yang lebih berat daripada azab (yang dikenakan ke atas) orang yang mendakwa (dirinya) bermakrifah dan bercinta, padahal dia tidak membuktikan perkata itu dengan suatu apa pun.”

Nama sebenar Al Fudhail ialah Abu Ali Al Fudhail bin Iyaz. Dia lahir di Khurasan dan meninggal di Mekah pada tahun 187 Hijrah. Di waktu mudanya Fudhail mengetuai sekumpulan penyamun namun akhirnya dipilih oleh Allah untuk bertaubat dan diangkat-Nya menjadi seorang wali yang memiliki pelbagai karamah. Fudhail begitu mahir dalam bidang hadis. Dia tidak pernah tersenyum selama tiga puluh tahun kerana baginya dunia bukan tempat untuk tersenyum, akhiratlah tempat untuk tersenyum.

Diceritakan bahawa pada suatu hari Fudhail dan gerombolan perompaknya telah merompak sebuah kafilah (rombongan dagang). Selesai merompak, mereka makan dan berehat di tepi sebatang sungai. Salah seorang daripada rombongan kafilah yang dirompak itu memberanikan diri mendekati kumpulan Fudhail. Berlakulah perbualan di antara orang itu dengan kumpulan perompak yang lebih kurang begini bunyinya:

“Siapakah ketua kumpulan kamu semua?”

“Dia tak ada di sini. Dia sedang solat di seberang sungai.”

“Solat? Tetapi sekarang belum masuk waktu solat.”

“Dia sedang solat sunat.”

“Mengapa dia tidak makan bersama-sama kamu?”

“Hari ini dia berpuasa.”

“Tapi sekarang bukannya bulan Ramadhan.”

“Sekarang memang bukan bulan Ramadhan, Cuma dia berpuasa sunat”

Lelaki itu merasa amat hairan kerana inilah pertama kalinya dia melihat dan mendengar yang seorang ketua penyamun rajin solat sunat dan berpuasa di siang hari. Setelah Fudhail selesai solat, lelaki itu pun menghampirinya.

“Betulkah engkau ketua para perompak itu?”

“Ya.”

“Sungguh aneh dan ajaib.”

“Kenapa?”

“Engkau mengerjakan solat sunat dan puasa sunat, tetapi dalam masa yang sama engkau merompak dan mengugut sesama muslim.”

“Apa yang perlu dihairankan? Sebagai seorang muslim, adakah engkau membaca Al Quran?”

“Ya, aku ada membacanya.”

“Kalau begitu,apakah engkau tidak membaca firman Allah tentang pengampunan?”

Lalu Fudhail pun membaca Surah At Taubah ayat 102:

وَآخَرُونَ اعْتَرَفُواْ بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُواْ عَمَلاً صَالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampur adukkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Lelaki itu pun terdiam penuh kehairanan.

Ketika itu cinta Fudhail kepada Tuhan belum sempurna kerana dia belum bertaubat. Setelah dia bertaubat, taubatnya diterima lalu diangkat menjadi kekasih Allah.

Pernah suatu ketika yang lain, Fudhail dan gerombolannya merompak lagi. Dia tidak merompak sama kerana sebagai ketua dia hanya memberi arahan dan memerhati sahaja. Dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang lelaki yang tidak mengenali Fudhail telah memberi sekotak emas kepadanya untuk disorok agar tidak diambil para perompak.

Setelah para perompak beredar, lelaki tadi pun mencari Fudhail untuk mendapatkan peti emasnya. Alangkah terkejutnya dia kerana Fudhail adalah ketua para perompak itu. Anehnya Fudhail memanggil lelaki itu lalu menyerahkan kembali kotak emasnya. Lelaki itu mengambil balik barangnya dengan penuh rasa kehairanan.

Orang-orang Fudhail merungut kerana Fudhail telah mensia-siakan kotak berisi emas itu. Fudhail menjawab: “Orang itu telah mempercayaiku, sebagaimana aku percaya yang Allah akan menerima taubatku nanti. Aku jaga amanah orang itu, suapaya Allah menjaga amanahku pula.”

Dengan sebab itulah taubat Fudhail akhirnya diterima dan darjatnya diangkat. Di antara karamah kurniaan Allah kepada Fudhail bin Iyaz ialah dia tidak merasa lapar atau dahaga walaupun tidak makan dan minum sehingga sepuluh hari lamanya.

Sewaktu hendak menghembuskan nafanya yang terakhir, Fudhail telah mendapat alamat daripada Allah SWT untuk berwasiat kepada isterinya agar si isteri membawa kedua-dua orang anak perempuan mereka ke Bukit Qubais dan berdoa. Setelah Fudhail meninggal dunia, isterinya pun melaksanakan wasiat si suami. Dia berdoa hingga bercucuran air matanya.

Ketika itu seorang raja dari Yaman sedang melalui bukit tersebut. Si raja merasa amat terharu melihatkan khusyuknya doa si isteri. Setelah diceritakan wasiat Fudhail kepada si raja, dia pun terus mengambil kedua-dua orang anak Fudhail sebagai menantunya.

Di antara tanda-tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah Taala ialah dia selalu berzikir. Tidak lesu lidahnya daripada zikir dan tidak kosong hatinya daripada zikir. Sesiapa yang mencintai sesuatu, nescaya dia akan banyak menyebutkannya.

Sebahagian ulama mengatakan bahawa zikir anggota manusia yang tujuh itu adalah:

zikir mata adalah dengan menangis kerana Allah

zikir telinga adalah dengan mendengar perkara yang baik-baik

zikir lidah adalah dengan memuji Allah

zikir tangan adalah dengan memberi sedekah

zikir badan adalah dengan menunaikan kewajiban

zikir hati adalah dengan takut dan harap kepada Tuhan

zikir roh adalah dengan menyerah diri kepada Allah

Tanda kecintaan kepada Allah ialah cinta untuk berzikir kepada-Nya dan cinta kepada Kalam-Nya iaitu Al Quran, cinta kepada Rasulullah SAW dan cintakan keturunannya. Sesiapa yang amat hebat cintanya kepada Allah, nescaya dia mencintai semua makhluk Allah kerana mereka itu makhluk-Nya, maka terjalinlah kasih sayang. Mana mungkin seorang yang mencintai Allah itu tidak mencintai Al Quran, rasul dan hamba-hamba-Nya yang soleh?

Firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ

“Katakan: kalau betul kamu mencintai Allah, turutilah aku (Nabi Muhammad) nescaya kamu akan dicintai oleh Allah.”

(Ali Imran : 31)

Sufyan Ath Thauri berkata: “Sesiapa yang mencintai orang yang mencintai Allah Taala, sesungguhnya dia mencintai Allah. Dan sesiapa yang memuliakan orang yang memuliakan Allah Taala, sesungguhnya dia memuliakan Allah Taala.”

Nama sebenar Suyan Ath Thauri ialah Abu Abdullah Sufyan Ath-Thauri. Beliau dikatakan pernah tidak tidur selama tiga puluh tahun kerana beribadah kepada Penciptanya.

Sufyan Ath Thauri dengan beraninya telah menegur khalifah kerana khalifah bersolat dengan memintal-mintal misainya. Akibatnya dia dihukum gantung oleh khalifah. Apabila tiba saatnya untuk digantung, Sufyan telah berdoa. Doanya diperkenankan oleh Allah SWT dan ketika itu juga khalifah yang sedang bersemayam di atas singgahsananya dipanah petir yang amat dahsyat menyebabkan khalifah dan para menterinya mati tertimbus tanah.

Sufyan seorang yang pengasih kepada makhluk Allah yang lain. Dia pernah membeli seekor burung lalu membebaskan burung itu. Burung itu amat menyayangi Sufyan. Setiap malam ia akan datang ke rumah Sufyan dan adakalanya hinggap di tubuh Sufyan. Sewaktu jenazah Sufyan hendak dikebumikan, burung itu turut masuk ke dalam lubang kuburnya.

Ada seorang pelajar yang sangat rajin membaca Al Quran siang dan malam. Suatu hari dia berasa sangat lesu lalu tidak membaca Al Quran. Dalam tidurnya pelajar itu telah bermimpi yang Tuhan berkata kepadanya: ‘Kalau engkau mendakwa yang engkau mencintai Aku, mengapakah engkau tidak bermesra-mesraan dengan kitab-Ku?”

Pelajar itu terjaga lalu dia meneruskan tabiatnya yang lalu iaitu sering membaca Al Quran siang dan malam.

Ibnu Mas’ud berkata: “Kalau seseorang itu mencintai Al Quran, maka dia mencintai Allah Azza wa Jalla. Dan kalau dia tidak mencintai Al Quran, maka dia tidaklah mencintai Allah.”

Sahal berkata: “Tanda mencintai Allah ialah mencintai Al Quran. Tanda mencintai Allah dan Al Quran ialah mencintai Nabi SAW. Tanda mencintai Nabi SAW ialah mencintai sunnah. Tanda mencintai sunnah ialah mencintai akhirat. Tanda mencintai akhirat ialah memarahi (menghindari) dunia. Dan tanda memarahi dunia ialah dengan tidak mengambil daripada dunia selain perbekalan dan barang yang memadai (untuk) ke akhirat.”

Di antara lain-lain tanda-tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia rajin mengerjakan solat tahajjud iaitu mempergunakan ketenangan malam dan kebersihan waktu dengan memotong halangan-halangan. Bagaimanakah boleh sah kecintaan kepada Allah jika tidur dan berbual-bual itu lebih baik daripada bersunyi-sunyian dan bermunajah kepada-Nya?

Ditanyakan kepada Ibrahim bin Adham yang baru turun dari sebuah bukit: “Engkau datang dari mana?” Beliau menjawab: “Dari berjinak-jinak hati dengan Allah.” Maksudnya Ibrahim bin Adham baru habis bersunyi-sunyian dengan Tuhan.

Tersebutlah kisah Burakh, iaitu seorang budak kulit hitam. Nabi Musa a.s. pernah meminta bantuan kepadanya. Allah Taala berfirman kepada Nabi Musa a.s: “Sesungguhnya Burakh itu budak yang baik dan dia adalah untuk-Ku. Hanya ada satu kekurangan pada dirinya.” Nabi Musa bertanya: “Wahai Tuhanku, apakah kekurangannya?”

Allah Taala berfirman: “Dia merasa takjub dengan angin pagi. Dan dia berasa tenang dengan angin pagi itu. Dan (sepatutnya) sesiapa yang mencintai Aku, sudah tentu dia tidak akan tenang dengan sesuatu (yang lain).”

Ada seorang abid (ahli ibadah) yang telah lama beribadah kepada Allah Taala di suatu tempat yang rendang pohonannya. Kemudian dia ternampak seekor burung yang telah bersarang pada sepohon kayu. Sang burung tinggal di situ sambil berbunyi-bunyi. Abid itu berkata: “Kalaulah aku pindahkan tempatku ke (bawah) pohon kayu itu, tentulah aku berasa tenang berjinak-jinak hati dengan bunyi burung itu.”

Maka Allah SWT telah mewahyukan kepada nabi zaman itu supaya memberitahu si abid, yang Allah telah menurunkan darjatnya di sisi Allah kerana si abid berjinak-jinak hati dengan makhluk, bukannya dengan Allah.

Kelazatan berjinak-jinak hati itu amat tinggi hinggakan ada orang yang sedang solat tidak menyedari rumahnya terbakar. Ada pula orang yang berpenyakit, dipotong sebahagian daripada kakinya ketika sedang solat sedangkan orang itu tidak menyedarinya sama sekali. Begitulah khusyuk dan tawaduk yang terhasil daripada kejinakan hati dengan Tuhan.

Orang yang bercinta itu tidak akan tenang hatinya selain dengan apa yang dicintainya. Hamba yang mencintai Tuhan tidak akan tenang hatinya selain kepada Tuhan.

Firman Allah Taala:

الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“Orang-orang yang beriman itu, hati mereka menjadi tenteram kerana mengingati Allah. Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram.”

(Ar Ra’d : 28)

Kata Qatadah: “Aku banyak berkata-kata tentang Dia dan (menyebabkan) jinaklah hatiku dengan Dia.”

Fahamlah kita, apabila kita membiasakan diri banyak berbicara tentang Allah, maka kebesaran-Nya akan meresap masuk ke dalam jiwa kita. Sebaliknya apabila kita banyak berbicara tentang dunia, maka kebesaran dunia itu pula yang akan masuk ke dalam jiwa kita. Begitulah seterusnya apabila kita banyak berbicara tentang sukan, hiburan, para artis, kenderaan mewah dan harta maka kebesaran sukan, hiburan, para artis , kenderaan mewah dan hartalah yang akan meresap masuk ke dalam jiwa kita. Ini semua akan mengeluarkan kebesaran Allah daripada jiwa kita kerana telah kita gantikan dengan kebesaran makhluk. Untuk itu, biasakanlah diri lebih banyak berbicara tentang kebesaran Allah berbanding berbicara tentang dunia dalam kehidupan kita sehari-hari.

Saidina Abu Bakar As Siddiq berkata: Sesiapa yang merasakan keikhlasan cinta kepada Allah, nescaya (keikhlasan cinta) itu akan menyibukkan dirinya daripada mencari dunia dan menjauhkan hatinya daripada semua manusia.”

Allah Taala telah menurunkan wahyu kepada Nabi Daud a.s. : “Dustalah orang yang mendakwa (dirinya) cinta kepadaKu (sekiranya) apabila datang malam, dia tidur jauh daripadaKu. Bukankah setiap orang yang bercinta itu cinta untuk bertemu dengan kekasihnya? Sesungguhnya Aku ini maujud (ada) pada orang yang mencari Aku.”

Dengan sebab inilah para sufi, ahli-ahli tasauf dan tariqat membiasakan diri berjaga malam untuk bersama Kekasih mereka.

Nabi Musa a.s. pernah berkata: “Ya Tuhanku, dimanakah Engkau? Aku bermaksud kepada Engkau.” Maka Allah Taala pun berfirman: “Apabila engkau bermaksud, sesungguhnya engkau telah pun sampai.”

Yahya bin Ma’adz berkata: “Sesiapa yang mencinta Allah, nescaya dia memarahi dirinya.”

Yahya juga pernah berkata: “Siapa yang tidak ada pada dirinya tiga perkara, maka dia itu bukanlah orang yang mencintai (Allah) iaitu:

  1. mengutamakan kalam Allah Taala (Al Quran) di atas perkataan manusia
  2. mengutamakan bertemu dengan Allah Taala daripada bertemu dengan makhluk
  3. mengutamakan ibadah daripada melayani makhluk

Tanda seterusnya kecintaan seseorang hamba kepada Allah ialah dia tidak bersedih hati atas apa yang hilang daripadanya selain Allah Taala. Contohnya kehilangan keluarga, barang, wang, pangkat, kebesaran dan seumpamanya. Dan hamba ini sangat sedih pula hatinya di atas terluputnya setiap saat yang kosong daripada zikir dan taat kepada Allah Taala. Setelah dia sedar akan kelalaiannya dia akan berbanyak-banyak minta dikasihani Allah, mencela dirinya sendiri dan bertaubat.

Sebab itulah para sufi (ahli-ahli tasauf dan tariqat) membiasakan diri mereka sentiasa di dalam keadaan mengingati Allah. Caranya ialah dengan mengekalkan berzikir.

Firman Allah SWT:

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاَةَ فَاذْكُرُواْ اللّهَ قِيَامَاً وَقُعُودَاً وَعَلَى جُنُوبِكُم

“Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat, ingatlah Allah di waktu (kamu) berdiri, di waktu (kamu) duduk dan di waktu (kamu) berbaring.”

(An Nisa’ : 103)

Maksudnya, memang ada perintah Allah supaya hamba-hamba-Nya mengingati Dia dalam apa jua keadaan. Adakah kita telah melaksanakan perintah Allah ini?

Adapun zikir itu terbahagi kepada dua iaitu:

  1. zikir qalbi (hati)
  2. zikir lisan (lidah)

Zikir lisan itu contohnya menyebut ‘Allah’ dengan berhuruf dan bersuara. Zikir lisan ini memerlukan kelapangan masa dan perlukan keadaan yang selesa. Ia sukar dilaksanakan ketika kita sedang berlari, berbual, bekerja, memasak dan lain-lain.

Sementara zikir qalbi pula ialah mengingat atau menyebut ‘Allah’ di dalam hati, tidak berhuruf atau bersuara. Zikir qalbi ini lebih mudah kita istiqamah (kekalkan secara berterusan) dengannya kerana ia boleh dibuat semasa kita sedang berehat, beriadah, berbual, berhadapan dengan musuh, berada di tengah orang ramai dan sebagainya.

Dengan sebab itulah ahli-ahli tariqat lebih suka memilih zikir qalbi. Tambahan pula hati sangat berperanan dalam kehidupan. Hati adalah tempat iman, sumber pancaran cahaya dan penuh dengan rahsia. Berzikir secara qalbi lebih mengingatkan kita kepada Allah berbanding dengan zikir lisan kerana orang yang berzikir lisan kadang-kadang fikirannya menerawang ke tempat lain, bukannya berpusat kepada Allah SWT.

Ijmak ulama mengatakan bahawa amalan anggota tidak diterima jika tidak disertai amalan hati. Namun begitu amal hati diterima walaupun tanpa amalan anggota.

Banyak hadis-hadis yang menganjurkan supaya berzikir di dalam hati. Di antaranya:

“Zikir khafi (dalam hati) itu melebihi zikir jahri (dengan lidah) dengan tujuh puluh kali ganda. Apabila Hari Qiamat, Allah mengembalikan semua makhluk ke tempat perhitungannya. Dan Malaikat Penjaga datang membawa apa yang mereka jaga dan apa yang mereka catat. Allah berfirman kepada Malaikat Penjaga, “Perhatikanlah, adakah lagi sesuatu yang tersisa dari (amalan) hamba-Ku?” Mereka menjawab, “Tidak ada satu pun yang kami tinggalkan daripada apa yang kami ketahui dan apa yang kami jaga melainkan kami batasi dan sudah kami tulis dengan sebenarnya.” Maka Allah pun berfirman (kepada hamba-Nya_, “Sesungguhnya kebaikan kamu ada padaKu. Dan Aku akan membalasnya. Kebaikanmu itu adalah zikir khafi (yang tersembunyi).”

(Baihaqi)

Sabda Rasulullah SAW:

“Zikir yang paling baik adalah zikir khafi (tersembunyi), dan rezeki yang paling baik adalah sesuatu yang mencukupi.”

(Ibnu Hibban & Baihaqi)

Sabda Rasulullah SAW:

“Zikir yang tidak didengari oleh Malaikat Penjaga melebihi zikir yang didengari oleh Malaikat Penjaga dengan tujuh puluh kali ganda.”

(Baihaqi)

Dua jenis zikir qalbi yang biasa diamalkan oleh para sufi, ahli-ahli tasauf dan tariqat adalah:

  1. zikir ismu zat iaitu ‘Allah, Allah, Allah’
  2. zikir nafi itsbat iaitu ‘La Ilaha Illallah’

Sebahagian orang-orang yang bermakrifah (al ariffin) berkata: “Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang mencintai-Nya dan mereka merasa tenteram kepada-Nya. Maka hilanglah daripada mereka kesedihan atas kehilangan (tidak bersedih jika kehilangan sesuatu daripada dunia ini.”

Demikianlah, para sufi yang sebenar hanya merasa sedih jika merasa kehilangan Tuhan, bukannya kehilangan dunia dan isi di dalamnya.

Di antara dendangan para sufi:

Kalau Engkau tinggalkan aku Tuhan, apalah erti hidup ini

Jika Engkau biarkan aku Tuhan, segala yang ada tidak ada erti

Apalah erti hidup tanpa-Mu Tuhan, aku memerlukan-Mu

Jika Engkau pimpin aku, segala yang ada mempunyai makna

Setiap milikanku mempunyai erti

Kalau tidak memiliki apa-apa pun, masih mempunyai

Begitulah besarnya erti hidup ini

Bersama-Mu bahagialah hati, ceria muka walaupun papa

Kalau hidup ini tidak bersama-Mu, hilanglah bahagia, ceria tiada

Walaupun berkuasa dan kaya

Betapalah kalau miskin dan papa, bertambah malang bahkan celaka

Engkau adalah keperluan di dalam kehidupan

Engkau adalah cahaya menyuluh harapan

Engkau adalah diperlukan di dalam segala hal dan keadaan

Engkau adalah segala-galanya

Jangan tinggalkan aku Tuhan

Jangan biarkan aku Tuhan

Itulah harapanku pada-Mu

Dengan rahmat-Mu Tuhan, harap tunaikan

Apabila seseorang pencinta Tuhan itu tersedar yang dia ada terlalai daripada mengingati Allah SWT, maka pada ketika itu juga dia hendaknya menghadap kepada Kekasihnya dengan mencela kesalahan diri sendiri. Tanyakan dan katakan: “Wahai Tuhanku. Apakah dosaku hingga Engkau putuskan kebajikan Engkau daripadaku, dan Engkau jauhkan aku daripada kehadrat Engkau, dan Engkau sibukkan aku dengan diriku sendiri dan (aku) mengikut syaitan?”

Perbuatan memohon keampunan ini akan membuahkan kebersihan zikir dan kehalusan hati. Kesilapan dan kelalaian itu adalah menjadi sebab untuk memperbaharui zikir dan membersihkan hati.

Tanda-tanda lain berkenaan kecintaan seorang hamba kepada Tuhan-Nya ialah hamba itu berasa nikmat dengan mentaati (segala perintah dan larangan Allah) dan dia tidak merasa berat untuk taat. Kepayahan untuk taat itu hilang daripada sanubarinya. Dia berasa seronok untuk taat perintah Tuhan supaya solat berjemaah, menutup aurat, menjaga pergaulan, bertilawah Al Quran dan dia juga berasa sangat nikmat dan lazat untuk taat menghindari segala larangan Tuhan seperti tidak minum arak, tidak membazir, tidak berhibur dengan hiburan bukan Islam, tidak mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani serta lain-lain lagi.

Sebahagian daripada para sufi berkata: ‘Aku menderita (kerana berusaha beribadah) pada malam hari selama dua puluh tahun. Kemudian aku bernikmat-nikmat dengannya (dengan beribadah) itu selama dua puluh tahun (kerana sudah terasa lazatnya).”

Al Junaid berkata: “Tanda cinta itu ialah berterusan rajin dan bersungguh-sungguh dengan kerinduan, lesu badannya dan (tetapi) tidak lesu hatinya.”

Sesetengah para sufi berkata: “Berusaha atas kecintaan itu (pasti) tidak dimasuki oleh kelesuan.”

Ada ditanyakan kepada sebahagian daripada orang-orang yang mencintai Tuhan, yang telah memberikan seluruh harta termasuk dirinya untuk Allah SWT hinggakan dia tidak memiliki suatu apa pun: “Mengapakah engkau bercinta sampai begini keadaannya?” Orang itu menjawab: ‘Suatu hari aku ada terdengar (perbualan) orang yang bercinta dengan yang dicintainya (sepasang kekasih), mereka sedang bersuyni-sunyian. Orang itu berkata (kepada kekasihnya): Demi Allah, aku cinta padamu dengan seluruh hatiku.” Yang dicinta itu menjawab: “Kalau betul engkau mencintai aku, apakah yang akan engkau belanjakan (korbankan) untukku?” Pencinta menjawab: “(Akan) aku berikan kepada engkau segala apa yang aku miliki. Kemudian (akan) aku belanjakan nyawaku kepada engkau, sehinggalah ia binasa.”

Orang yang mendengar itu mengatakan sesungguhnya ini hanyalah (cinta) makhluk sesama makhluk atau hamba sesama hamba. Maka bagaimanakah pula (sepatutnya cinta) hamba dengan Tuhan Yang Disembahnya? Tentulah lebih besar lagi pengorbanan yang perlu dibuat untuk membuktikan kecintaan itu. Dengan sebab itulah orang ini telah membelanjakan seluruh harta termasuk diri sendiri kepada jalan Allah.

Seterusnya, lagi tanda –tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT adalah dengan berkasih-sayang kepada semua hamba Allah, menyayangi mereka, bersikap keras terhadap semua musuh-musuh Allah dan juga terhadap setiap orang yang mengerjakan sesuatu yang tidak disukai oleh Allah, sebagaimana firman-Nya:

“Bersikap keras terhadap orang-orang yang tidak beriman, dan (sebaliknya) bersifat kasih sayang sesama sendiri.”

(Al Fath : 29)

Orang yang mencintai Tuhan itu tidak terpengaruh dengan celaan orang yang suka mencela (terhadapnya). Segala celaan dan tohmahan hanya menjadi baja yang akan menyuburkan lagi keimanan mereka. Marahnya tidak lain hanyalah marah kerana Allah, iaitu dalam batasan marah yang dibenarkan oleh syarak. Begitulah Allah menyifatkan perihal para wali-Nya.

Allah pernah berfirman (sebelum zaman nabi Muhammad SAW): “Mereka (para wali & sufi) itu memberatkan diri mereka dengan mencintai-Ku, sebagaimana anak kecil memberatkan dirinya dengan sesuatu. Mereka duduk untuk mengingati aku, sebagaimana burung helang duduk dalam sarangnya. Mereka marah akan segala yang aku haramkan, sebagaimana harimau sewaktu ia marah. Sesungguhnya mereka tidak ambil peduli sedikitnya manusia ataupun banyak.”

Perhatikanlah contoh di atas. Apabila seseorang anak kecil itu sudah terasa berat hatinya (sangat suka) akan sesuatu, tidaklah dia sama-sekali mahu berpisah dengan barang itu. Kalau diambil juga barang itu daripadanya , maka anak kecil itu akan menyibukkan dirinya dengan menangis dan berteriak sampailah barang itu dikembalikan kepadanya. Sekiranya dia tertidur, nescaya barang itu dibawanya bersama. Apabila terjaga, dipegangnya kembali. Sesiapa yang menghalang anak itu daripada memperolehi barangnya, nescaya akan dimarahinya. Dan sesiapa yang memberikan barang itu kepadanya, nescaya disukainya.

Begitulah juga halnya dengan hamba yang cinta kepada Khaliq.

Inilah tanda cinta. Sesiapa yang sempurna pada dirinya akan tanda-tanda ini, maka sempurnalah kecintaannya dan ikhlaslah cintanya itu.

Sesiapa yang ibadahnya bermatlamatkan kenikmatan syurga,, para bidadari dan istana, mungkin di akhirat nanti akan diperolehinya. Duduklah dia bersenang-senang dengan syurga, bidadari dan istana. Tetapi, hanya setakat itulah kesudahan kelazatan yang dikecapinya di akhirat.

Bagi para sufi, ahli-ahli tasauf dan tariqat, ibadah mereka bermatlamatkan kenikmatan memandang wajah Allah SWT Yang Maha Indah. Dengan sebab itulah mereka memandang kecil akan kenikmatan syurga yang hanya sebesar zarah (atom) kalau hendak dibandingkan dengan kelazatan berada di hadapan-Nya Yang Maha Indah.

Apalah gunanya kita memiliki semua yang dimiliki

Sedangkan Pemiliknya tidak kita miliki

Memiliki yang dimiliki itu pun sudah terlalu lazat rasanya

Apatah lagi kalau kita memiliki Pemiliknya

Lagi tanda kecintaan hamba kepada Allah SWT adalah takut. Kadang-kadang orang beranggapan yang takut itu bertentangan dengan cinta. Sebenarnya tidaklah begitu. Ketakutan yang dimaksudkan ialah takut pada tempat-tempat kecintaan. Ada yang kuat takutnya dan ada yang kurang. Takut yang pertama adalah takut daripada berpaling kepada Allah. Takut yang lebih kuat adalah takut terdinding daripada Allah SWT. Dan takut yang lebih kuat dari itu adalah takut dijauhkan daripada Allah SWT. Yang lebih kuat daripada itu adalah takut hilangnya apa yang tidak doleh diperolehi lagi sesudah hilangnya. Yang lebih kuat lagi adalah takut menyimpang daripada Allah SWT. Yang paling kuat adalah takut cinta kepada Tuhan berganti dengan cinta kepada selain kepada Tuhan.

Lagi tanda-tanda kecintaan seorang hamba kepada Tuhanya ialah dia menyembunyikan kecintaan. Dia akan menjauhkan dakwaan kononnya dia seorang pencinta dan menjaga diri daripada menunjukkan perasaan cinta. Ini semua kerana membesar dan memuliakan Yang Dicintai, takut kepada-Nya dan cemburu kepada rahsia-Nya. Maksudnya, cinta kepada Tuhan adalah rahsia.

Namun begitu memang ada orang yang bercinta itu mabuk dalam percintaannya hinggakan perlakuannya lain daripada manusia biasa, malah ada yang dianggap gila. Seandainya terjadi, perkara itu dimaafkan kerana sesungguhnya ia berada di luar daripada kawalannya. Kadang-kadang, nyalaan api cinta itu menjadi begitu marak hingga tidak boleh dikawal lagi. Kadang-kadang, kebanjiran cinta itu terlalu besar hinggakan kita tidak mampu menyekatnya lagi. Pada ahli-ahli tasauf dan tariqat, situasi ini dikenali sebagi ‘fana’.

Zun Nun Al Misri masuk ke tempat temannya yang sering menyebut-nyebut tentang ‘kecintaan’. Dilhatnya si teman sedang menghadapi satu masalah yang berat. Zun Nun berkata: “Tidaklah cinta kepada-Nya, orang yang mendapati kepedihan kemelaratannya.” Lelaki itu menjawab: “Tetapi menurut pendapatku, tidaklah cinta kepada-Nya, orang yang tidak bernikmat-nikmatan dengan kemelaratan dirinya.” Zun Nun berkata pula: “Tetapi menurut pendapatku, tidaklah cinta kepada-Nya, orang yang menghebahkan kecintaannya kepada Tuhan.” Maka kata lelaki itu : “Aku meminta ampun kepada Allah, dan aku bertaubat kepada-Nya.”

Fahamlah kita, kecintaan kepada Tuhan itu sebenarnya tidaklah boleh ditunjuk-tunjuk.

Zunn Nun Al Misri ialah seorang waliyullah yang banyak karamahnya, berasal dari sempadan Sudan dan Mesir. Beliau banyak mengembara dari Mesir ke Lubna, Syria dan banyak lagi tempat di sekitar bumi Arab. Sepanjang pengembaraannya, banyak berlaku kejadian yang aneh-aneh melibatkan kebesaran yang menunjukkan kebesaran Allah SWT. Beliau pernah dihukum penjara oleh khalifah kerana dituduh zindiq. Ini berlaku kerana ilmu, iman dan amal para sufi sangat tinggi hingga tidak dapat dicapai fikiran orang biasa menyebabkan para sufi, ahli-ahli tasauf dan tariqat sering dituduh sesat.

Dalam satu pelayaran yang dilaluinya, Zun Nun pernah dituduh mencuri mutiara penumpang lain. Dengan keizinan Allah SWT Yang Maha berkuasa, Zun Nun berjaya membuktikan kebenarannya apabila muncul begitu banyak ikan yang masing-masing membawa sebiji permata di dalam mulut mereka. Dia mengambil sebiji batu permata itu dan menyerahkan kepada penumpang yang kehilangan mutiara tadi. Barulah orang lain menyedari kesalahan mereka lalu memohon maaf. Jika ribuan biji batu permata boleh diperolehinya dengan begitu mudah, apalah gunanya untuk Zun Nun mencuri mutiara yang tak seberapa harganya itu. Sejak itulah dia dikenali sebagai ‘Zun Nun’ yang bermaksud ‘Menguasai Ikan’.

Di antara karamah-karamah Zun Nun ialah dapat mengembalikan gigi yang yang telah tercabut ke tempat asalnya, memperolehi makanan yang lazat-lazat tanpa perlu mencari, mengarahkan benda supaya bergerak sendiri dan yang paling hebat adalah peristiwa-peristiwa aneh yang dialaminya sepanjang pengembaraan.

Mungkin orang akan bertanya, mengapakah kita dilarang melahirkan (menunjukkan) kecintaan kepada Tuhan sedangkan bukankah melahirkannya itu melahirkan kebajikan?

Fahamilah, bahawa sesungguhnya cinta kepada Tuhan itu terpuji dan melahirkannya juga terpuji. Yang tercela adalah jika kita buat-buat melahirkannya (sengaja menunjuk-nunjuk). Ini akan melahirkan pula kesombongan.

Ada disebut di dalam kitab Injil: “Apabila engkau bersedekah, maka bersedekahlah dalam keadaan tangan kirimu tidak mengetahui apa yang dibuat oleh tangan kananmu……..Apabila engkau berpuasa, maka basuhlah mukamu dan minyakkanlah kepala (rambut)mu. (Ini) supaya tidak diketahui (oleh manusia lain) yang demikian itu selain daripada Tuhanmu.’

Melahirkan kecintaan kepada yang lain selain Allah sama ada dengan perkataan mahupun perbuatan adalah tercela. Namun ini terkecuali bagi hamba yang sudah mabuk dalam percintaannya dengan Tuhan. Kadang-kadang lidah mereka terlepas (melatah) dan kadang-kadang anggota badan mereka berada di luar kawalan. Inilah keadaan ‘fana’ yang sering berlaku pada diri wali-wali Allah.

http://allahcintaagung7.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan