Isnin, Mac 23, 2009

Bagaimana untuk meraih "cinta"

Biasanya Tuhan tidak akan mengurniakan perasaan cinta dengan mudah-mudah kepada hamba-hamba-Nya tanpa melalui ujian-Nya terlebih dahulu. Alangkah bahagianya menjadi hamba yang dipersucikan oleh Tuhan. Dengan itu, marilah kita berdoa agar kita termasuk ke dalam golongan hamba yang dianugerahkan kecintaan oleh Tuhan . Tidak lupa juga kita berdoa agar Allah memberikan kekuatan dan kejayaan dalam melalui ujian-Nya.

Aku iri hati selalu

(Akan ) cerita dan berita orang soleh zaman dahulu

Hebatnya cinta mereka pada-Mu

Hilang selera makan kerana-Mu

Asyik memuja dan memuji-Mu

Mensuci dan membesarkan-Mu

Terutama di waktu malam yang sepi

Di waktu orang (ber)mimpi

Mereka memuja-Mu, merintih pada-Mu

Mengharapkan kasih sayang pada-Mu

Air mata mereka membasahi pipi

Adakalanya menitis ke bumi

Mereka merasakan Engkau adalah segala-galanya

Engkau adalah hidup mati mereka

Engkau adalah (sentiasa) dibibir mereka

Engkau adalah hati jantung mereka

Tapi aku tidak begitu

Aduh……. keras hatiku, keras hatiku!

Hingga kini aku belum mencintai Kekasih Agungku

Baru aku sedar

Cinta padaMu adalah anugerah dan hidayahMu

Bertuah dan berbahagialah orang yang Engkau anugerahkan kecintaan padaMu

Aku (pula) bilakah lagi Tuhan?

Dapat sedikit pun jadilah

Aku tidak (akan) putus asa

Aku cuba lagi selagi ada nyawa di badan

Di hujung hidupku kalau dapat (cinta) pun, sudah cukuplah

Wahai Tuhan Al Hannan Wal Mannan

Kita hanya mampu berusaha, sedangkan ‘rasa cinta kepada Khalik’ itu sebenarnya merupakan anugerah Allah SWT yang boleh diberikan-Nya kepada sesiapa jua yang dikehendaki-Nya. Sebab itu ada orang yang berusaha, tetapi tidak dianugerahkan. Dan ada orang yang tidak berusaha, tetapi kadang-kala dianugerahi-Nya pula. Itu semua adalah kerja Tuhan yang tidak akan sampai ke pemikiran kita untuk menghuraikannya.

Samalah halnya dengan orang yang pergi memancing ikan. Orang yang pergi, boleh jadi akan mendapat ikan tetapi orang yang tidak pergi, sudah tentu tidak akan mendapat ikan. Tetapi kadang kala orang yang tidak pergi ada juga mendapat ikan melalui orang lain, sedangkan orang yang pergi pulang dengan tangan kosong. Dapat ikan pun tidak, diberi orang pun tidak. Begitulah tamsilannya.

Nabi SAW bersabda:

“Apabila Allah hendakkan kebajikan kepada seseorang hamba itu, nescaya diperlihatkan Nya hamba itu akan kekurangan dirinya (kekurangan diri hamba tersebut).”

(Abu Mansur Ad Dailami)

Ketahuilah, sesungguhnya semua manusia jika ditanya akan mendakwa yang dia cintakan Allah. Alangkah mudahnya untuk mengakui dirinya mencintai Allah. Janganlah kita mudah tertipu dengan godaan syaitan dan diri sendiri, kononnya diri kita mencintai Allah Taala sedangkan kita belum diuji dengan tanda-tanda tertentu. Ini bersesuaian dengan firman Allah Taala;

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُون

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: “Kami telah beriman” sedangkan mereka belum diuji lagi?

(Al Ankabut : 2)

Cinta itu ibarat sepohon kayu yang subur. Akarnya tetap di bumi, cabangnya di langit dan buahnya lahir di hati, di lidah dan pada anggota-anggota badan.

Apabila manusia sudah tahu, untuk sampai kepada Yang Dicintai mestilah dengan berangkat dari dunia ke akhirat melalui mati, maka sayugialah dia mencintai kematian. Dia tidak akan lari daripada kematian itu. Sesungguhnya orang yang bercinta itu tidak akan keberatan untuk berpisah daripada tanah airnya menuju kepada Kecintaannya, untuk bersenang-senang dalam keadaan menyaksikanNya. Mati itulah kunci pertemuan dan pintu masuk untuk menyaksikan Allah SWT.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Siapa yang cinta untuk bertemu dengan Allah, nescaya Allah (juga) cinta untuk menemuinya.”

(Bukhari & Muslim)

Sebahagian salaf berkata: “Selepas cinta bertemu dengan Allah, tidak ada suatu perkara pun yang lebih dicintai oleh Allah kepada hambaNya selain daripada banyak sujud. Maka dahulukanlah kecintaan untuk bertemu dengan Allah dengan membanyakkan sujud.”

Fahamlah kita, bahawa pertamanya Allah mencintai hamba yang cinta untuk bertemu dengan-Nya. Yang jatuh di tempat kedua ialah Allah mencintai hamba yang membanyakkan sujud. Dengan itu hendaklah kita banyak mengerjakan solat nafil (sunat).

Dikatakan Imam Ahmad bin Hanbal mengerjakan solat sunat 300 rakaat dalam sehari semalam. Beliau telah dihukum sebat oleh pemerintah kerana keengganannya mengikut telunjuk mereka menyebabkan tubuhnya menjadi lemah. Dengan itu dia pun mengurangkan solat sunatnya kepada 150 rakaat sahaja dalam sehari semalam. Sebagai pengetahuan, ketika itu beliau berusia 80 tahun.

Imam Abu Yusuf rah.a. adalah seorang Hakim Besar Negara. Sungguhpun sibuk dengan tugas yang berat itu namun dia masih mampu istiqamah solat sunat 200 rakaat sehari semalam.

Inilah permulaan untuk mendapat kecintaan kepada Allah SWT Yang Maha Penyayang. Bagaimana dengan kita? Beranikah kita mendakwa yang kita telah jatuh cinta kepada Tuhan?

Satu lagi tanda benarnya kecintaan seseorang hamba kepada Tuhannya ialah kesanggupan hamba itu mencari syahid dengan berperang pada jalan Allah (sabilillah).

Allah Taala berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا

“Sesungguhnya Allah itu mencintai orang-orang yang berperang di jalan Allah, dalam barisan perang yang teratur.”

(As Saf : 4)

يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُون

“Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh.”

(At Taubah : 111)

Diriwayatkan bahawa Ishak bin Saad bin Abi Waqqas berkata: “Diceritakan kepadaku oleh bapaku (Saad bin Abi Waqqas) bahawa Abdullah bin Jahsyin pada hari Perang Uhud berkata kepadanya : “Mengapa tidak kita berdoa kepada Allah?”

Lalu mereka pun memencilkan diri di suatu sudut. Abdullah bin Jahsyin pun berdoa. Beliau mengatakan: “Wahai Tuhanku. Sesungguhnya Aku bersumpah kepada-Mu. Apabila aku bertemu dengan musuh esok, maka temukanlah aku dengan lelaki yang sangat perkasa, yang sangat bengis. Aku akan berhadapan dengan dia pada jalan Engkau dan dia akan berhadapan dengan aku. Kemudian dia menewaskan aku lalu dipotongnya hidung dan telingaku serta dikoreknya perutku. Apabila aku menjumpai Engkau nanti, nescaya Engkau berfirman, “Wahai Abdullah (hamba Allah). Siapakah yang telah memotong hidung dan telinga engkau?” Maka akan kujawab, “(Ia dipotong musuh) pada jalanMu ya Tuhanku dan pada jalan RasulMu.” Lalu Engkau berfirman, “Engkau benar.”

Esoknya Abdullah bin Jahsyin berjaya kembali kepada Tuhannya sebagaimana dalam keadaan yang dimintanya itu.

Apabila Imam Al Ghazali memetik riwayat di atas dan dimuatkan ke dalam kitab Ihya’ Ulumiddin yang terkenal itu, ini maksudnya beliau mengiktiraf niat para mujahid Islam yang pergi berperang dengan niat untuk mati syahid, yang tidak terfikir untuk pulang ke rumah lagi selepas pemergiannya. Malangnya dewasa ini begitu banyak ulama-ulama jahat yang mengatakan kononnnya jihad bertujuan mencari syahid adalah salah. Siapalah agaknya mereka berbanding Imam Ghazali…….

Sufyan Ath Thauri dan Bisyr Al Hafi (kedua-duanya wali besar) mengatakan: “Hanya orang yang ragu-ragu yang benci kepada kematian kerana orang yang bercinta walau bagaimanapun tidak akan benci bertemu dengan Kekasihnya.”

Bolehkah seseorang itu dikatakan mencintai Allah sedangkan dia tidak mencintai mati? Kata Imam Ghazali: “Benci kepada kematian itu ada kalanya kerana cinta kepada dunia, merasa sedih (untuk) berpisah dengan isteri, harta dan anak-anak. Ini menyebabkan kecintaan kepada Allah Taala tidak sempurna kerana cinta itu hanya sempurna apabila dihabiskan seluruh hati (hanya kepada Allah).”

Sesungguhnya kenikmatan yang akan dikecapi ketika bertemu dengan Tuhan bergantung pada kadar kecintaan seseorang itu kepada Tuhan ketika di dunia. Lebih besar kecintaannya, lebih besarlah kenikmatan dan kelazatan ketika menemui Allah nanti.

Begitu pula halnya dengan azab yang ditanggung ketika hendak berpisah dengan dunia (mati). Lebih besar kecintaannya kepada dunia, maka lebih besarlah pula azab yang dirasa ketika nyawa hendak keluar. Maka, zuhudlah ketika hidup, nescaya mudah ketika sakaratul maut.

Renungkanlah kisah Nabi Yusuf a.s. dengan Zulaikha. Sebelum Allah menganugerahkan iman ke dalam diri Zulaikha, dia sanggup memerangkap Nabi Yusuf yang kacak itu untuk memuaskan nafsu syahwatnya, tetapi digagalkan oleh Allah SWT. Dia juga sanggup memfitnah Nabi Yusuf dengan tuduhan cuba mencabul kehormatannya pula.

Akhirnya, setelah beriman dan dianugerahkan kecintaan oleh Allah, dia berjaya juga menjadi isteri Nabi Yusuf. Namun begitu jiwa nuraninya telah berubah sama sekali. Daripada tergila-gilakan Nabi Yusuf Zulaikha kini tergila-gilakan Allah pula. Dia sering mengasingkan diri dan menghabiskan masanya dengan beribadah. Seringkali Nabi Yusuf mengajaknya tidur bersama tetapi dia enggan. Kata Zulaikha: “Wahai Yusuf. Memang aku mencintaimu sebelum aku mengenal Dia. Apabila aku telah mengenal Dia, nescaya aku tidak mencintai yang lain selain kecintaan kepadaNya. Aku (juga) tidak mahu akan gantiNya.”

Nabi Yusuf a.s. pun berkata kepada Zulaikha: “Sesungguhnya Allah Yang Maha Agung Sebutan-Nya yang menyuruh aku demikian (tidur bersama Zulaikha). Dia memberitaku kepadaku yang Dia akan mengeluarkan dua orang anak daripada engkau. Dan kedua-dua orang anak itu nanti akan dijadikan-Nya nabi.” Setelah Zulaikha tahu itu perintah Allah, maka dia pun taat kerana yakin itulah jalan yang dibukakan oleh Allah untuk dia, yang akan mendekatkan lagi dirinya dengan Allah.

Sesiapa yang mencintai Allah sudah tentu tidak akan berbuat maksiat kepadaNya. Sebaliknya akan sentiasa taat dan patuh kepada kehendak Kekasih Agungnya.

Sahal berhata: “ Bukanlah semua orang yang beramal dengan mentaati Allah Azza wa Jalla itu (akan) menjadi orang yang dikasihi (Tuhan). Orang yang dikasihi (Tuhan) itu itu ialah orang yang menjauhkan segala yang dilarang.”

http://allahcintaagung6.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan