Isnin, Mac 23, 2009

TANDA-TANDA 'CINTA'

Apabila seseorang itu dicintai oleh Allah, nescaya Allah akan melindungi dan menolongnya menghadapi musuh-musuhnya, iaitu dirinya sendiri dan nafsu syahwatnya. Bak kata orang tua-tua, musuh utama kita adalah diri sendiri. Berwaspadalah. Sesungguhnya Allah sajalah yang lebih mengetahui musuh-musuh kita.

Allah Taala berfirman:

وَاللّهُ أَعْلَمُ بِأَعْدَائِكُمْ وَكَفَى بِاللّهِ وَلِيًّا وَكَفَى بِاللّهِ نَصِيرًا

“Dan Allah lebih mengetahui musuh-musuh kamu dan cukuplah Allah menjadi Pelindung dan cukuplah Allah menjadi Penolong.”

(An Nisa’ : 45)

Marilah kita rasakan Tuhan itu Pelindung

Marilah kita rasakan Tuhan itu Penjaga

Marilah kita rasakan Tuhan itu Pengawal

Marilah kita rasakan Tuhan itu Pembela

Marilah kita rasakan Tuhan itu Penyelamat

Marilah kita rasakan Tuhan segala-galanya

Rasa-rasa ini mendorong kita cinta kepada Tuhan

Rasa-rasa ini menjadikan kita takut kepadaNya

Rasa-rasa ini membawa kita malu kepadaNya

Rasa-rasa ini mendorong kita merasa kuat denganNya

Juga rasa-rasa ini mendorong kita berani yang tiada taranya

Kerana Pelindung dan Pembela kita itu Maha Agung dan Berkuasa

Maha Berkehendak dan kehebatanNya tiada siapa boleh menolak

Siapa yang merasa seperti yang dikatakan

Waktu seorang merasa ramai

Di waktu ramai bertambah lagilah dirasakan ramai

Rasa-rasa inilah kita pandang, makhluk tiada kuasa apa

Walau bagaimana besar kuasa dan pengikutnya

Kita akan merasakan semua ini sama saja dengan kita

Tidak ada mempunyai apa-apa kuasa dan daya

Di hadapan Tuhan sama sahaja

Bahkan kita berani dan tegas menegakkan kalimah Allah

Di sinilah betapa perlunya kita merasa akan bertuhan

Adakah perbuatan maksiat itu berlawanan dengan kecintaan? Apakah orang yang melakukan maksiat itu tidak mencintai Allah?

Menurut Imam Al Ghazali, perbuatan maksiat itu tidak bertentangan dengan kecintaan kepada Allah SWT, tetapi ia bertentangan dengan ‘kesempurnaan’ kecintaan tersebut. Seorang yang sering mencuri tidak boleh terus dihukum tidak mencintai Allah, cuma kecintaannya kepada Allah itu tidak sempurna.

Bukankah banyak manusia yang berpenyakit menyebabkan dia inginkan atau cintakan hidup yang sihat, tetapi dalam masa yang sama dia masih memakan makanan yang sepatutnya pantang dimakan? Adakah dengan mengambil makanan ‘pantang’ itu menghilangkan kecintaannya kepada sihat? Sudah tentu tidak. Dia masih cintakan kesihatan dan cintakan tubuh badannya sendiri cuma kecintaannya itu tidak sempurna.

Sebahagian orang-orang al ariffin (yang bermakrifah) mengatakan: “Apabila iman itu ada pada zahiriah hati, nescaya seseorang itu mencintai Allah Taala dengan kecintaan yang sederhana. Apabila iman itu masuk ke dalam jantung hati, nescaya seseorang itu mencintai Allah Taala dengan kecintaan yang amat sangat, dan dia akan meninggalkan segala perbuatan maksiat.”

Fahamlah kita, kecintaan kepada Tuhan itu mempunyai peringkat-peringkat yang tertentu. Peringkat yang tertinggi adalah ‘Cinta yang sempurna’ iaitu melaksanakan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang ditegah.

Cinta itu juga berbahaya. Sebab itulah Al Fudhail pernah berkata: “Apabila ditanyakan kepada engkau, adakah engkau cintakan Allah Taala? Maka diamlah. Sesungguhnya jikalau engkau menjawab ‘tidak’, nescaya engkau menjadi kufur. Dan jika engkau menjawab ‘ya’, maka engkau sebenarnya tidaklah bersifat dengan sifat-sifat orang yang mencintai-Nya. Maka jagalah akan kutukan.”

Sebahagian ulama berkata: “Di dalam syurga, tidak ada nikmat yang lebih tinggi daripada nikmat orang yang bermakrifah dan bercinta. Sementara di dalam neraka jahannam tiada azab yang lebih berat daripada azab (yang dikenakan ke atas) orang yang mendakwa (dirinya) bermakrifah dan bercinta, padahal dia tidak membuktikan perkata itu dengan suatu apa pun.”

Nama sebenar Al Fudhail ialah Abu Ali Al Fudhail bin Iyaz. Dia lahir di Khurasan dan meninggal di Mekah pada tahun 187 Hijrah. Di waktu mudanya Fudhail mengetuai sekumpulan penyamun namun akhirnya dipilih oleh Allah untuk bertaubat dan diangkat-Nya menjadi seorang wali yang memiliki pelbagai karamah. Fudhail begitu mahir dalam bidang hadis. Dia tidak pernah tersenyum selama tiga puluh tahun kerana baginya dunia bukan tempat untuk tersenyum, akhiratlah tempat untuk tersenyum.

Diceritakan bahawa pada suatu hari Fudhail dan gerombolan perompaknya telah merompak sebuah kafilah (rombongan dagang). Selesai merompak, mereka makan dan berehat di tepi sebatang sungai. Salah seorang daripada rombongan kafilah yang dirompak itu memberanikan diri mendekati kumpulan Fudhail. Berlakulah perbualan di antara orang itu dengan kumpulan perompak yang lebih kurang begini bunyinya:

“Siapakah ketua kumpulan kamu semua?”

“Dia tak ada di sini. Dia sedang solat di seberang sungai.”

“Solat? Tetapi sekarang belum masuk waktu solat.”

“Dia sedang solat sunat.”

“Mengapa dia tidak makan bersama-sama kamu?”

“Hari ini dia berpuasa.”

“Tapi sekarang bukannya bulan Ramadhan.”

“Sekarang memang bukan bulan Ramadhan, Cuma dia berpuasa sunat”

Lelaki itu merasa amat hairan kerana inilah pertama kalinya dia melihat dan mendengar yang seorang ketua penyamun rajin solat sunat dan berpuasa di siang hari. Setelah Fudhail selesai solat, lelaki itu pun menghampirinya.

“Betulkah engkau ketua para perompak itu?”

“Ya.”

“Sungguh aneh dan ajaib.”

“Kenapa?”

“Engkau mengerjakan solat sunat dan puasa sunat, tetapi dalam masa yang sama engkau merompak dan mengugut sesama muslim.”

“Apa yang perlu dihairankan? Sebagai seorang muslim, adakah engkau membaca Al Quran?”

“Ya, aku ada membacanya.”

“Kalau begitu,apakah engkau tidak membaca firman Allah tentang pengampunan?”

Lalu Fudhail pun membaca Surah At Taubah ayat 102:

وَآخَرُونَ اعْتَرَفُواْ بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُواْ عَمَلاً صَالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampur adukkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Lelaki itu pun terdiam penuh kehairanan.

Ketika itu cinta Fudhail kepada Tuhan belum sempurna kerana dia belum bertaubat. Setelah dia bertaubat, taubatnya diterima lalu diangkat menjadi kekasih Allah.

Pernah suatu ketika yang lain, Fudhail dan gerombolannya merompak lagi. Dia tidak merompak sama kerana sebagai ketua dia hanya memberi arahan dan memerhati sahaja. Dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang lelaki yang tidak mengenali Fudhail telah memberi sekotak emas kepadanya untuk disorok agar tidak diambil para perompak.

Setelah para perompak beredar, lelaki tadi pun mencari Fudhail untuk mendapatkan peti emasnya. Alangkah terkejutnya dia kerana Fudhail adalah ketua para perompak itu. Anehnya Fudhail memanggil lelaki itu lalu menyerahkan kembali kotak emasnya. Lelaki itu mengambil balik barangnya dengan penuh rasa kehairanan.

Orang-orang Fudhail merungut kerana Fudhail telah mensia-siakan kotak berisi emas itu. Fudhail menjawab: “Orang itu telah mempercayaiku, sebagaimana aku percaya yang Allah akan menerima taubatku nanti. Aku jaga amanah orang itu, suapaya Allah menjaga amanahku pula.”

Dengan sebab itulah taubat Fudhail akhirnya diterima dan darjatnya diangkat. Di antara karamah kurniaan Allah kepada Fudhail bin Iyaz ialah dia tidak merasa lapar atau dahaga walaupun tidak makan dan minum sehingga sepuluh hari lamanya.

Sewaktu hendak menghembuskan nafanya yang terakhir, Fudhail telah mendapat alamat daripada Allah SWT untuk berwasiat kepada isterinya agar si isteri membawa kedua-dua orang anak perempuan mereka ke Bukit Qubais dan berdoa. Setelah Fudhail meninggal dunia, isterinya pun melaksanakan wasiat si suami. Dia berdoa hingga bercucuran air matanya.

Ketika itu seorang raja dari Yaman sedang melalui bukit tersebut. Si raja merasa amat terharu melihatkan khusyuknya doa si isteri. Setelah diceritakan wasiat Fudhail kepada si raja, dia pun terus mengambil kedua-dua orang anak Fudhail sebagai menantunya.

Di antara tanda-tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah Taala ialah dia selalu berzikir. Tidak lesu lidahnya daripada zikir dan tidak kosong hatinya daripada zikir. Sesiapa yang mencintai sesuatu, nescaya dia akan banyak menyebutkannya.

Sebahagian ulama mengatakan bahawa zikir anggota manusia yang tujuh itu adalah:

zikir mata adalah dengan menangis kerana Allah

zikir telinga adalah dengan mendengar perkara yang baik-baik

zikir lidah adalah dengan memuji Allah

zikir tangan adalah dengan memberi sedekah

zikir badan adalah dengan menunaikan kewajiban

zikir hati adalah dengan takut dan harap kepada Tuhan

zikir roh adalah dengan menyerah diri kepada Allah

Tanda kecintaan kepada Allah ialah cinta untuk berzikir kepada-Nya dan cinta kepada Kalam-Nya iaitu Al Quran, cinta kepada Rasulullah SAW dan cintakan keturunannya. Sesiapa yang amat hebat cintanya kepada Allah, nescaya dia mencintai semua makhluk Allah kerana mereka itu makhluk-Nya, maka terjalinlah kasih sayang. Mana mungkin seorang yang mencintai Allah itu tidak mencintai Al Quran, rasul dan hamba-hamba-Nya yang soleh?

Firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ

“Katakan: kalau betul kamu mencintai Allah, turutilah aku (Nabi Muhammad) nescaya kamu akan dicintai oleh Allah.”

(Ali Imran : 31)

Sufyan Ath Thauri berkata: “Sesiapa yang mencintai orang yang mencintai Allah Taala, sesungguhnya dia mencintai Allah. Dan sesiapa yang memuliakan orang yang memuliakan Allah Taala, sesungguhnya dia memuliakan Allah Taala.”

Nama sebenar Suyan Ath Thauri ialah Abu Abdullah Sufyan Ath-Thauri. Beliau dikatakan pernah tidak tidur selama tiga puluh tahun kerana beribadah kepada Penciptanya.

Sufyan Ath Thauri dengan beraninya telah menegur khalifah kerana khalifah bersolat dengan memintal-mintal misainya. Akibatnya dia dihukum gantung oleh khalifah. Apabila tiba saatnya untuk digantung, Sufyan telah berdoa. Doanya diperkenankan oleh Allah SWT dan ketika itu juga khalifah yang sedang bersemayam di atas singgahsananya dipanah petir yang amat dahsyat menyebabkan khalifah dan para menterinya mati tertimbus tanah.

Sufyan seorang yang pengasih kepada makhluk Allah yang lain. Dia pernah membeli seekor burung lalu membebaskan burung itu. Burung itu amat menyayangi Sufyan. Setiap malam ia akan datang ke rumah Sufyan dan adakalanya hinggap di tubuh Sufyan. Sewaktu jenazah Sufyan hendak dikebumikan, burung itu turut masuk ke dalam lubang kuburnya.

Ada seorang pelajar yang sangat rajin membaca Al Quran siang dan malam. Suatu hari dia berasa sangat lesu lalu tidak membaca Al Quran. Dalam tidurnya pelajar itu telah bermimpi yang Tuhan berkata kepadanya: ‘Kalau engkau mendakwa yang engkau mencintai Aku, mengapakah engkau tidak bermesra-mesraan dengan kitab-Ku?”

Pelajar itu terjaga lalu dia meneruskan tabiatnya yang lalu iaitu sering membaca Al Quran siang dan malam.

Ibnu Mas’ud berkata: “Kalau seseorang itu mencintai Al Quran, maka dia mencintai Allah Azza wa Jalla. Dan kalau dia tidak mencintai Al Quran, maka dia tidaklah mencintai Allah.”

Sahal berkata: “Tanda mencintai Allah ialah mencintai Al Quran. Tanda mencintai Allah dan Al Quran ialah mencintai Nabi SAW. Tanda mencintai Nabi SAW ialah mencintai sunnah. Tanda mencintai sunnah ialah mencintai akhirat. Tanda mencintai akhirat ialah memarahi (menghindari) dunia. Dan tanda memarahi dunia ialah dengan tidak mengambil daripada dunia selain perbekalan dan barang yang memadai (untuk) ke akhirat.”

Di antara lain-lain tanda-tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia rajin mengerjakan solat tahajjud iaitu mempergunakan ketenangan malam dan kebersihan waktu dengan memotong halangan-halangan. Bagaimanakah boleh sah kecintaan kepada Allah jika tidur dan berbual-bual itu lebih baik daripada bersunyi-sunyian dan bermunajah kepada-Nya?

Ditanyakan kepada Ibrahim bin Adham yang baru turun dari sebuah bukit: “Engkau datang dari mana?” Beliau menjawab: “Dari berjinak-jinak hati dengan Allah.” Maksudnya Ibrahim bin Adham baru habis bersunyi-sunyian dengan Tuhan.

Tersebutlah kisah Burakh, iaitu seorang budak kulit hitam. Nabi Musa a.s. pernah meminta bantuan kepadanya. Allah Taala berfirman kepada Nabi Musa a.s: “Sesungguhnya Burakh itu budak yang baik dan dia adalah untuk-Ku. Hanya ada satu kekurangan pada dirinya.” Nabi Musa bertanya: “Wahai Tuhanku, apakah kekurangannya?”

Allah Taala berfirman: “Dia merasa takjub dengan angin pagi. Dan dia berasa tenang dengan angin pagi itu. Dan (sepatutnya) sesiapa yang mencintai Aku, sudah tentu dia tidak akan tenang dengan sesuatu (yang lain).”

Ada seorang abid (ahli ibadah) yang telah lama beribadah kepada Allah Taala di suatu tempat yang rendang pohonannya. Kemudian dia ternampak seekor burung yang telah bersarang pada sepohon kayu. Sang burung tinggal di situ sambil berbunyi-bunyi. Abid itu berkata: “Kalaulah aku pindahkan tempatku ke (bawah) pohon kayu itu, tentulah aku berasa tenang berjinak-jinak hati dengan bunyi burung itu.”

Maka Allah SWT telah mewahyukan kepada nabi zaman itu supaya memberitahu si abid, yang Allah telah menurunkan darjatnya di sisi Allah kerana si abid berjinak-jinak hati dengan makhluk, bukannya dengan Allah.

Kelazatan berjinak-jinak hati itu amat tinggi hinggakan ada orang yang sedang solat tidak menyedari rumahnya terbakar. Ada pula orang yang berpenyakit, dipotong sebahagian daripada kakinya ketika sedang solat sedangkan orang itu tidak menyedarinya sama sekali. Begitulah khusyuk dan tawaduk yang terhasil daripada kejinakan hati dengan Tuhan.

Orang yang bercinta itu tidak akan tenang hatinya selain dengan apa yang dicintainya. Hamba yang mencintai Tuhan tidak akan tenang hatinya selain kepada Tuhan.

Firman Allah Taala:

الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“Orang-orang yang beriman itu, hati mereka menjadi tenteram kerana mengingati Allah. Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram.”

(Ar Ra’d : 28)

Kata Qatadah: “Aku banyak berkata-kata tentang Dia dan (menyebabkan) jinaklah hatiku dengan Dia.”

Fahamlah kita, apabila kita membiasakan diri banyak berbicara tentang Allah, maka kebesaran-Nya akan meresap masuk ke dalam jiwa kita. Sebaliknya apabila kita banyak berbicara tentang dunia, maka kebesaran dunia itu pula yang akan masuk ke dalam jiwa kita. Begitulah seterusnya apabila kita banyak berbicara tentang sukan, hiburan, para artis, kenderaan mewah dan harta maka kebesaran sukan, hiburan, para artis , kenderaan mewah dan hartalah yang akan meresap masuk ke dalam jiwa kita. Ini semua akan mengeluarkan kebesaran Allah daripada jiwa kita kerana telah kita gantikan dengan kebesaran makhluk. Untuk itu, biasakanlah diri lebih banyak berbicara tentang kebesaran Allah berbanding berbicara tentang dunia dalam kehidupan kita sehari-hari.

Saidina Abu Bakar As Siddiq berkata: Sesiapa yang merasakan keikhlasan cinta kepada Allah, nescaya (keikhlasan cinta) itu akan menyibukkan dirinya daripada mencari dunia dan menjauhkan hatinya daripada semua manusia.”

Allah Taala telah menurunkan wahyu kepada Nabi Daud a.s. : “Dustalah orang yang mendakwa (dirinya) cinta kepadaKu (sekiranya) apabila datang malam, dia tidur jauh daripadaKu. Bukankah setiap orang yang bercinta itu cinta untuk bertemu dengan kekasihnya? Sesungguhnya Aku ini maujud (ada) pada orang yang mencari Aku.”

Dengan sebab inilah para sufi, ahli-ahli tasauf dan tariqat membiasakan diri berjaga malam untuk bersama Kekasih mereka.

Nabi Musa a.s. pernah berkata: “Ya Tuhanku, dimanakah Engkau? Aku bermaksud kepada Engkau.” Maka Allah Taala pun berfirman: “Apabila engkau bermaksud, sesungguhnya engkau telah pun sampai.”

Yahya bin Ma’adz berkata: “Sesiapa yang mencinta Allah, nescaya dia memarahi dirinya.”

Yahya juga pernah berkata: “Siapa yang tidak ada pada dirinya tiga perkara, maka dia itu bukanlah orang yang mencintai (Allah) iaitu:

  1. mengutamakan kalam Allah Taala (Al Quran) di atas perkataan manusia
  2. mengutamakan bertemu dengan Allah Taala daripada bertemu dengan makhluk
  3. mengutamakan ibadah daripada melayani makhluk

Tanda seterusnya kecintaan seseorang hamba kepada Allah ialah dia tidak bersedih hati atas apa yang hilang daripadanya selain Allah Taala. Contohnya kehilangan keluarga, barang, wang, pangkat, kebesaran dan seumpamanya. Dan hamba ini sangat sedih pula hatinya di atas terluputnya setiap saat yang kosong daripada zikir dan taat kepada Allah Taala. Setelah dia sedar akan kelalaiannya dia akan berbanyak-banyak minta dikasihani Allah, mencela dirinya sendiri dan bertaubat.

Sebab itulah para sufi (ahli-ahli tasauf dan tariqat) membiasakan diri mereka sentiasa di dalam keadaan mengingati Allah. Caranya ialah dengan mengekalkan berzikir.

Firman Allah SWT:

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاَةَ فَاذْكُرُواْ اللّهَ قِيَامَاً وَقُعُودَاً وَعَلَى جُنُوبِكُم

“Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat, ingatlah Allah di waktu (kamu) berdiri, di waktu (kamu) duduk dan di waktu (kamu) berbaring.”

(An Nisa’ : 103)

Maksudnya, memang ada perintah Allah supaya hamba-hamba-Nya mengingati Dia dalam apa jua keadaan. Adakah kita telah melaksanakan perintah Allah ini?

Adapun zikir itu terbahagi kepada dua iaitu:

  1. zikir qalbi (hati)
  2. zikir lisan (lidah)

Zikir lisan itu contohnya menyebut ‘Allah’ dengan berhuruf dan bersuara. Zikir lisan ini memerlukan kelapangan masa dan perlukan keadaan yang selesa. Ia sukar dilaksanakan ketika kita sedang berlari, berbual, bekerja, memasak dan lain-lain.

Sementara zikir qalbi pula ialah mengingat atau menyebut ‘Allah’ di dalam hati, tidak berhuruf atau bersuara. Zikir qalbi ini lebih mudah kita istiqamah (kekalkan secara berterusan) dengannya kerana ia boleh dibuat semasa kita sedang berehat, beriadah, berbual, berhadapan dengan musuh, berada di tengah orang ramai dan sebagainya.

Dengan sebab itulah ahli-ahli tariqat lebih suka memilih zikir qalbi. Tambahan pula hati sangat berperanan dalam kehidupan. Hati adalah tempat iman, sumber pancaran cahaya dan penuh dengan rahsia. Berzikir secara qalbi lebih mengingatkan kita kepada Allah berbanding dengan zikir lisan kerana orang yang berzikir lisan kadang-kadang fikirannya menerawang ke tempat lain, bukannya berpusat kepada Allah SWT.

Ijmak ulama mengatakan bahawa amalan anggota tidak diterima jika tidak disertai amalan hati. Namun begitu amal hati diterima walaupun tanpa amalan anggota.

Banyak hadis-hadis yang menganjurkan supaya berzikir di dalam hati. Di antaranya:

“Zikir khafi (dalam hati) itu melebihi zikir jahri (dengan lidah) dengan tujuh puluh kali ganda. Apabila Hari Qiamat, Allah mengembalikan semua makhluk ke tempat perhitungannya. Dan Malaikat Penjaga datang membawa apa yang mereka jaga dan apa yang mereka catat. Allah berfirman kepada Malaikat Penjaga, “Perhatikanlah, adakah lagi sesuatu yang tersisa dari (amalan) hamba-Ku?” Mereka menjawab, “Tidak ada satu pun yang kami tinggalkan daripada apa yang kami ketahui dan apa yang kami jaga melainkan kami batasi dan sudah kami tulis dengan sebenarnya.” Maka Allah pun berfirman (kepada hamba-Nya_, “Sesungguhnya kebaikan kamu ada padaKu. Dan Aku akan membalasnya. Kebaikanmu itu adalah zikir khafi (yang tersembunyi).”

(Baihaqi)

Sabda Rasulullah SAW:

“Zikir yang paling baik adalah zikir khafi (tersembunyi), dan rezeki yang paling baik adalah sesuatu yang mencukupi.”

(Ibnu Hibban & Baihaqi)

Sabda Rasulullah SAW:

“Zikir yang tidak didengari oleh Malaikat Penjaga melebihi zikir yang didengari oleh Malaikat Penjaga dengan tujuh puluh kali ganda.”

(Baihaqi)

Dua jenis zikir qalbi yang biasa diamalkan oleh para sufi, ahli-ahli tasauf dan tariqat adalah:

  1. zikir ismu zat iaitu ‘Allah, Allah, Allah’
  2. zikir nafi itsbat iaitu ‘La Ilaha Illallah’

Sebahagian orang-orang yang bermakrifah (al ariffin) berkata: “Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang mencintai-Nya dan mereka merasa tenteram kepada-Nya. Maka hilanglah daripada mereka kesedihan atas kehilangan (tidak bersedih jika kehilangan sesuatu daripada dunia ini.”

Demikianlah, para sufi yang sebenar hanya merasa sedih jika merasa kehilangan Tuhan, bukannya kehilangan dunia dan isi di dalamnya.

Di antara dendangan para sufi:

Kalau Engkau tinggalkan aku Tuhan, apalah erti hidup ini

Jika Engkau biarkan aku Tuhan, segala yang ada tidak ada erti

Apalah erti hidup tanpa-Mu Tuhan, aku memerlukan-Mu

Jika Engkau pimpin aku, segala yang ada mempunyai makna

Setiap milikanku mempunyai erti

Kalau tidak memiliki apa-apa pun, masih mempunyai

Begitulah besarnya erti hidup ini

Bersama-Mu bahagialah hati, ceria muka walaupun papa

Kalau hidup ini tidak bersama-Mu, hilanglah bahagia, ceria tiada

Walaupun berkuasa dan kaya

Betapalah kalau miskin dan papa, bertambah malang bahkan celaka

Engkau adalah keperluan di dalam kehidupan

Engkau adalah cahaya menyuluh harapan

Engkau adalah diperlukan di dalam segala hal dan keadaan

Engkau adalah segala-galanya

Jangan tinggalkan aku Tuhan

Jangan biarkan aku Tuhan

Itulah harapanku pada-Mu

Dengan rahmat-Mu Tuhan, harap tunaikan

Apabila seseorang pencinta Tuhan itu tersedar yang dia ada terlalai daripada mengingati Allah SWT, maka pada ketika itu juga dia hendaknya menghadap kepada Kekasihnya dengan mencela kesalahan diri sendiri. Tanyakan dan katakan: “Wahai Tuhanku. Apakah dosaku hingga Engkau putuskan kebajikan Engkau daripadaku, dan Engkau jauhkan aku daripada kehadrat Engkau, dan Engkau sibukkan aku dengan diriku sendiri dan (aku) mengikut syaitan?”

Perbuatan memohon keampunan ini akan membuahkan kebersihan zikir dan kehalusan hati. Kesilapan dan kelalaian itu adalah menjadi sebab untuk memperbaharui zikir dan membersihkan hati.

Tanda-tanda lain berkenaan kecintaan seorang hamba kepada Tuhan-Nya ialah hamba itu berasa nikmat dengan mentaati (segala perintah dan larangan Allah) dan dia tidak merasa berat untuk taat. Kepayahan untuk taat itu hilang daripada sanubarinya. Dia berasa seronok untuk taat perintah Tuhan supaya solat berjemaah, menutup aurat, menjaga pergaulan, bertilawah Al Quran dan dia juga berasa sangat nikmat dan lazat untuk taat menghindari segala larangan Tuhan seperti tidak minum arak, tidak membazir, tidak berhibur dengan hiburan bukan Islam, tidak mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani serta lain-lain lagi.

Sebahagian daripada para sufi berkata: ‘Aku menderita (kerana berusaha beribadah) pada malam hari selama dua puluh tahun. Kemudian aku bernikmat-nikmat dengannya (dengan beribadah) itu selama dua puluh tahun (kerana sudah terasa lazatnya).”

Al Junaid berkata: “Tanda cinta itu ialah berterusan rajin dan bersungguh-sungguh dengan kerinduan, lesu badannya dan (tetapi) tidak lesu hatinya.”

Sesetengah para sufi berkata: “Berusaha atas kecintaan itu (pasti) tidak dimasuki oleh kelesuan.”

Ada ditanyakan kepada sebahagian daripada orang-orang yang mencintai Tuhan, yang telah memberikan seluruh harta termasuk dirinya untuk Allah SWT hinggakan dia tidak memiliki suatu apa pun: “Mengapakah engkau bercinta sampai begini keadaannya?” Orang itu menjawab: ‘Suatu hari aku ada terdengar (perbualan) orang yang bercinta dengan yang dicintainya (sepasang kekasih), mereka sedang bersuyni-sunyian. Orang itu berkata (kepada kekasihnya): Demi Allah, aku cinta padamu dengan seluruh hatiku.” Yang dicinta itu menjawab: “Kalau betul engkau mencintai aku, apakah yang akan engkau belanjakan (korbankan) untukku?” Pencinta menjawab: “(Akan) aku berikan kepada engkau segala apa yang aku miliki. Kemudian (akan) aku belanjakan nyawaku kepada engkau, sehinggalah ia binasa.”

Orang yang mendengar itu mengatakan sesungguhnya ini hanyalah (cinta) makhluk sesama makhluk atau hamba sesama hamba. Maka bagaimanakah pula (sepatutnya cinta) hamba dengan Tuhan Yang Disembahnya? Tentulah lebih besar lagi pengorbanan yang perlu dibuat untuk membuktikan kecintaan itu. Dengan sebab itulah orang ini telah membelanjakan seluruh harta termasuk diri sendiri kepada jalan Allah.

Seterusnya, lagi tanda –tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT adalah dengan berkasih-sayang kepada semua hamba Allah, menyayangi mereka, bersikap keras terhadap semua musuh-musuh Allah dan juga terhadap setiap orang yang mengerjakan sesuatu yang tidak disukai oleh Allah, sebagaimana firman-Nya:

“Bersikap keras terhadap orang-orang yang tidak beriman, dan (sebaliknya) bersifat kasih sayang sesama sendiri.”

(Al Fath : 29)

Orang yang mencintai Tuhan itu tidak terpengaruh dengan celaan orang yang suka mencela (terhadapnya). Segala celaan dan tohmahan hanya menjadi baja yang akan menyuburkan lagi keimanan mereka. Marahnya tidak lain hanyalah marah kerana Allah, iaitu dalam batasan marah yang dibenarkan oleh syarak. Begitulah Allah menyifatkan perihal para wali-Nya.

Allah pernah berfirman (sebelum zaman nabi Muhammad SAW): “Mereka (para wali & sufi) itu memberatkan diri mereka dengan mencintai-Ku, sebagaimana anak kecil memberatkan dirinya dengan sesuatu. Mereka duduk untuk mengingati aku, sebagaimana burung helang duduk dalam sarangnya. Mereka marah akan segala yang aku haramkan, sebagaimana harimau sewaktu ia marah. Sesungguhnya mereka tidak ambil peduli sedikitnya manusia ataupun banyak.”

Perhatikanlah contoh di atas. Apabila seseorang anak kecil itu sudah terasa berat hatinya (sangat suka) akan sesuatu, tidaklah dia sama-sekali mahu berpisah dengan barang itu. Kalau diambil juga barang itu daripadanya , maka anak kecil itu akan menyibukkan dirinya dengan menangis dan berteriak sampailah barang itu dikembalikan kepadanya. Sekiranya dia tertidur, nescaya barang itu dibawanya bersama. Apabila terjaga, dipegangnya kembali. Sesiapa yang menghalang anak itu daripada memperolehi barangnya, nescaya akan dimarahinya. Dan sesiapa yang memberikan barang itu kepadanya, nescaya disukainya.

Begitulah juga halnya dengan hamba yang cinta kepada Khaliq.

Inilah tanda cinta. Sesiapa yang sempurna pada dirinya akan tanda-tanda ini, maka sempurnalah kecintaannya dan ikhlaslah cintanya itu.

Sesiapa yang ibadahnya bermatlamatkan kenikmatan syurga,, para bidadari dan istana, mungkin di akhirat nanti akan diperolehinya. Duduklah dia bersenang-senang dengan syurga, bidadari dan istana. Tetapi, hanya setakat itulah kesudahan kelazatan yang dikecapinya di akhirat.

Bagi para sufi, ahli-ahli tasauf dan tariqat, ibadah mereka bermatlamatkan kenikmatan memandang wajah Allah SWT Yang Maha Indah. Dengan sebab itulah mereka memandang kecil akan kenikmatan syurga yang hanya sebesar zarah (atom) kalau hendak dibandingkan dengan kelazatan berada di hadapan-Nya Yang Maha Indah.

Apalah gunanya kita memiliki semua yang dimiliki

Sedangkan Pemiliknya tidak kita miliki

Memiliki yang dimiliki itu pun sudah terlalu lazat rasanya

Apatah lagi kalau kita memiliki Pemiliknya

Lagi tanda kecintaan hamba kepada Allah SWT adalah takut. Kadang-kadang orang beranggapan yang takut itu bertentangan dengan cinta. Sebenarnya tidaklah begitu. Ketakutan yang dimaksudkan ialah takut pada tempat-tempat kecintaan. Ada yang kuat takutnya dan ada yang kurang. Takut yang pertama adalah takut daripada berpaling kepada Allah. Takut yang lebih kuat adalah takut terdinding daripada Allah SWT. Dan takut yang lebih kuat dari itu adalah takut dijauhkan daripada Allah SWT. Yang lebih kuat daripada itu adalah takut hilangnya apa yang tidak doleh diperolehi lagi sesudah hilangnya. Yang lebih kuat lagi adalah takut menyimpang daripada Allah SWT. Yang paling kuat adalah takut cinta kepada Tuhan berganti dengan cinta kepada selain kepada Tuhan.

Lagi tanda-tanda kecintaan seorang hamba kepada Tuhanya ialah dia menyembunyikan kecintaan. Dia akan menjauhkan dakwaan kononnya dia seorang pencinta dan menjaga diri daripada menunjukkan perasaan cinta. Ini semua kerana membesar dan memuliakan Yang Dicintai, takut kepada-Nya dan cemburu kepada rahsia-Nya. Maksudnya, cinta kepada Tuhan adalah rahsia.

Namun begitu memang ada orang yang bercinta itu mabuk dalam percintaannya hinggakan perlakuannya lain daripada manusia biasa, malah ada yang dianggap gila. Seandainya terjadi, perkara itu dimaafkan kerana sesungguhnya ia berada di luar daripada kawalannya. Kadang-kadang, nyalaan api cinta itu menjadi begitu marak hingga tidak boleh dikawal lagi. Kadang-kadang, kebanjiran cinta itu terlalu besar hinggakan kita tidak mampu menyekatnya lagi. Pada ahli-ahli tasauf dan tariqat, situasi ini dikenali sebagi ‘fana’.

Zun Nun Al Misri masuk ke tempat temannya yang sering menyebut-nyebut tentang ‘kecintaan’. Dilhatnya si teman sedang menghadapi satu masalah yang berat. Zun Nun berkata: “Tidaklah cinta kepada-Nya, orang yang mendapati kepedihan kemelaratannya.” Lelaki itu menjawab: “Tetapi menurut pendapatku, tidaklah cinta kepada-Nya, orang yang tidak bernikmat-nikmatan dengan kemelaratan dirinya.” Zun Nun berkata pula: “Tetapi menurut pendapatku, tidaklah cinta kepada-Nya, orang yang menghebahkan kecintaannya kepada Tuhan.” Maka kata lelaki itu : “Aku meminta ampun kepada Allah, dan aku bertaubat kepada-Nya.”

Fahamlah kita, kecintaan kepada Tuhan itu sebenarnya tidaklah boleh ditunjuk-tunjuk.

Zunn Nun Al Misri ialah seorang waliyullah yang banyak karamahnya, berasal dari sempadan Sudan dan Mesir. Beliau banyak mengembara dari Mesir ke Lubna, Syria dan banyak lagi tempat di sekitar bumi Arab. Sepanjang pengembaraannya, banyak berlaku kejadian yang aneh-aneh melibatkan kebesaran yang menunjukkan kebesaran Allah SWT. Beliau pernah dihukum penjara oleh khalifah kerana dituduh zindiq. Ini berlaku kerana ilmu, iman dan amal para sufi sangat tinggi hingga tidak dapat dicapai fikiran orang biasa menyebabkan para sufi, ahli-ahli tasauf dan tariqat sering dituduh sesat.

Dalam satu pelayaran yang dilaluinya, Zun Nun pernah dituduh mencuri mutiara penumpang lain. Dengan keizinan Allah SWT Yang Maha berkuasa, Zun Nun berjaya membuktikan kebenarannya apabila muncul begitu banyak ikan yang masing-masing membawa sebiji permata di dalam mulut mereka. Dia mengambil sebiji batu permata itu dan menyerahkan kepada penumpang yang kehilangan mutiara tadi. Barulah orang lain menyedari kesalahan mereka lalu memohon maaf. Jika ribuan biji batu permata boleh diperolehinya dengan begitu mudah, apalah gunanya untuk Zun Nun mencuri mutiara yang tak seberapa harganya itu. Sejak itulah dia dikenali sebagai ‘Zun Nun’ yang bermaksud ‘Menguasai Ikan’.

Di antara karamah-karamah Zun Nun ialah dapat mengembalikan gigi yang yang telah tercabut ke tempat asalnya, memperolehi makanan yang lazat-lazat tanpa perlu mencari, mengarahkan benda supaya bergerak sendiri dan yang paling hebat adalah peristiwa-peristiwa aneh yang dialaminya sepanjang pengembaraan.

Mungkin orang akan bertanya, mengapakah kita dilarang melahirkan (menunjukkan) kecintaan kepada Tuhan sedangkan bukankah melahirkannya itu melahirkan kebajikan?

Fahamilah, bahawa sesungguhnya cinta kepada Tuhan itu terpuji dan melahirkannya juga terpuji. Yang tercela adalah jika kita buat-buat melahirkannya (sengaja menunjuk-nunjuk). Ini akan melahirkan pula kesombongan.

Ada disebut di dalam kitab Injil: “Apabila engkau bersedekah, maka bersedekahlah dalam keadaan tangan kirimu tidak mengetahui apa yang dibuat oleh tangan kananmu……..Apabila engkau berpuasa, maka basuhlah mukamu dan minyakkanlah kepala (rambut)mu. (Ini) supaya tidak diketahui (oleh manusia lain) yang demikian itu selain daripada Tuhanmu.’

Melahirkan kecintaan kepada yang lain selain Allah sama ada dengan perkataan mahupun perbuatan adalah tercela. Namun ini terkecuali bagi hamba yang sudah mabuk dalam percintaannya dengan Tuhan. Kadang-kadang lidah mereka terlepas (melatah) dan kadang-kadang anggota badan mereka berada di luar kawalan. Inilah keadaan ‘fana’ yang sering berlaku pada diri wali-wali Allah.

http://allahcintaagung7.blogspot.com/

Bagaimana untuk meraih "cinta"

Biasanya Tuhan tidak akan mengurniakan perasaan cinta dengan mudah-mudah kepada hamba-hamba-Nya tanpa melalui ujian-Nya terlebih dahulu. Alangkah bahagianya menjadi hamba yang dipersucikan oleh Tuhan. Dengan itu, marilah kita berdoa agar kita termasuk ke dalam golongan hamba yang dianugerahkan kecintaan oleh Tuhan . Tidak lupa juga kita berdoa agar Allah memberikan kekuatan dan kejayaan dalam melalui ujian-Nya.

Aku iri hati selalu

(Akan ) cerita dan berita orang soleh zaman dahulu

Hebatnya cinta mereka pada-Mu

Hilang selera makan kerana-Mu

Asyik memuja dan memuji-Mu

Mensuci dan membesarkan-Mu

Terutama di waktu malam yang sepi

Di waktu orang (ber)mimpi

Mereka memuja-Mu, merintih pada-Mu

Mengharapkan kasih sayang pada-Mu

Air mata mereka membasahi pipi

Adakalanya menitis ke bumi

Mereka merasakan Engkau adalah segala-galanya

Engkau adalah hidup mati mereka

Engkau adalah (sentiasa) dibibir mereka

Engkau adalah hati jantung mereka

Tapi aku tidak begitu

Aduh……. keras hatiku, keras hatiku!

Hingga kini aku belum mencintai Kekasih Agungku

Baru aku sedar

Cinta padaMu adalah anugerah dan hidayahMu

Bertuah dan berbahagialah orang yang Engkau anugerahkan kecintaan padaMu

Aku (pula) bilakah lagi Tuhan?

Dapat sedikit pun jadilah

Aku tidak (akan) putus asa

Aku cuba lagi selagi ada nyawa di badan

Di hujung hidupku kalau dapat (cinta) pun, sudah cukuplah

Wahai Tuhan Al Hannan Wal Mannan

Kita hanya mampu berusaha, sedangkan ‘rasa cinta kepada Khalik’ itu sebenarnya merupakan anugerah Allah SWT yang boleh diberikan-Nya kepada sesiapa jua yang dikehendaki-Nya. Sebab itu ada orang yang berusaha, tetapi tidak dianugerahkan. Dan ada orang yang tidak berusaha, tetapi kadang-kala dianugerahi-Nya pula. Itu semua adalah kerja Tuhan yang tidak akan sampai ke pemikiran kita untuk menghuraikannya.

Samalah halnya dengan orang yang pergi memancing ikan. Orang yang pergi, boleh jadi akan mendapat ikan tetapi orang yang tidak pergi, sudah tentu tidak akan mendapat ikan. Tetapi kadang kala orang yang tidak pergi ada juga mendapat ikan melalui orang lain, sedangkan orang yang pergi pulang dengan tangan kosong. Dapat ikan pun tidak, diberi orang pun tidak. Begitulah tamsilannya.

Nabi SAW bersabda:

“Apabila Allah hendakkan kebajikan kepada seseorang hamba itu, nescaya diperlihatkan Nya hamba itu akan kekurangan dirinya (kekurangan diri hamba tersebut).”

(Abu Mansur Ad Dailami)

Ketahuilah, sesungguhnya semua manusia jika ditanya akan mendakwa yang dia cintakan Allah. Alangkah mudahnya untuk mengakui dirinya mencintai Allah. Janganlah kita mudah tertipu dengan godaan syaitan dan diri sendiri, kononnya diri kita mencintai Allah Taala sedangkan kita belum diuji dengan tanda-tanda tertentu. Ini bersesuaian dengan firman Allah Taala;

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُون

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: “Kami telah beriman” sedangkan mereka belum diuji lagi?

(Al Ankabut : 2)

Cinta itu ibarat sepohon kayu yang subur. Akarnya tetap di bumi, cabangnya di langit dan buahnya lahir di hati, di lidah dan pada anggota-anggota badan.

Apabila manusia sudah tahu, untuk sampai kepada Yang Dicintai mestilah dengan berangkat dari dunia ke akhirat melalui mati, maka sayugialah dia mencintai kematian. Dia tidak akan lari daripada kematian itu. Sesungguhnya orang yang bercinta itu tidak akan keberatan untuk berpisah daripada tanah airnya menuju kepada Kecintaannya, untuk bersenang-senang dalam keadaan menyaksikanNya. Mati itulah kunci pertemuan dan pintu masuk untuk menyaksikan Allah SWT.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Siapa yang cinta untuk bertemu dengan Allah, nescaya Allah (juga) cinta untuk menemuinya.”

(Bukhari & Muslim)

Sebahagian salaf berkata: “Selepas cinta bertemu dengan Allah, tidak ada suatu perkara pun yang lebih dicintai oleh Allah kepada hambaNya selain daripada banyak sujud. Maka dahulukanlah kecintaan untuk bertemu dengan Allah dengan membanyakkan sujud.”

Fahamlah kita, bahawa pertamanya Allah mencintai hamba yang cinta untuk bertemu dengan-Nya. Yang jatuh di tempat kedua ialah Allah mencintai hamba yang membanyakkan sujud. Dengan itu hendaklah kita banyak mengerjakan solat nafil (sunat).

Dikatakan Imam Ahmad bin Hanbal mengerjakan solat sunat 300 rakaat dalam sehari semalam. Beliau telah dihukum sebat oleh pemerintah kerana keengganannya mengikut telunjuk mereka menyebabkan tubuhnya menjadi lemah. Dengan itu dia pun mengurangkan solat sunatnya kepada 150 rakaat sahaja dalam sehari semalam. Sebagai pengetahuan, ketika itu beliau berusia 80 tahun.

Imam Abu Yusuf rah.a. adalah seorang Hakim Besar Negara. Sungguhpun sibuk dengan tugas yang berat itu namun dia masih mampu istiqamah solat sunat 200 rakaat sehari semalam.

Inilah permulaan untuk mendapat kecintaan kepada Allah SWT Yang Maha Penyayang. Bagaimana dengan kita? Beranikah kita mendakwa yang kita telah jatuh cinta kepada Tuhan?

Satu lagi tanda benarnya kecintaan seseorang hamba kepada Tuhannya ialah kesanggupan hamba itu mencari syahid dengan berperang pada jalan Allah (sabilillah).

Allah Taala berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا

“Sesungguhnya Allah itu mencintai orang-orang yang berperang di jalan Allah, dalam barisan perang yang teratur.”

(As Saf : 4)

يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُون

“Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh.”

(At Taubah : 111)

Diriwayatkan bahawa Ishak bin Saad bin Abi Waqqas berkata: “Diceritakan kepadaku oleh bapaku (Saad bin Abi Waqqas) bahawa Abdullah bin Jahsyin pada hari Perang Uhud berkata kepadanya : “Mengapa tidak kita berdoa kepada Allah?”

Lalu mereka pun memencilkan diri di suatu sudut. Abdullah bin Jahsyin pun berdoa. Beliau mengatakan: “Wahai Tuhanku. Sesungguhnya Aku bersumpah kepada-Mu. Apabila aku bertemu dengan musuh esok, maka temukanlah aku dengan lelaki yang sangat perkasa, yang sangat bengis. Aku akan berhadapan dengan dia pada jalan Engkau dan dia akan berhadapan dengan aku. Kemudian dia menewaskan aku lalu dipotongnya hidung dan telingaku serta dikoreknya perutku. Apabila aku menjumpai Engkau nanti, nescaya Engkau berfirman, “Wahai Abdullah (hamba Allah). Siapakah yang telah memotong hidung dan telinga engkau?” Maka akan kujawab, “(Ia dipotong musuh) pada jalanMu ya Tuhanku dan pada jalan RasulMu.” Lalu Engkau berfirman, “Engkau benar.”

Esoknya Abdullah bin Jahsyin berjaya kembali kepada Tuhannya sebagaimana dalam keadaan yang dimintanya itu.

Apabila Imam Al Ghazali memetik riwayat di atas dan dimuatkan ke dalam kitab Ihya’ Ulumiddin yang terkenal itu, ini maksudnya beliau mengiktiraf niat para mujahid Islam yang pergi berperang dengan niat untuk mati syahid, yang tidak terfikir untuk pulang ke rumah lagi selepas pemergiannya. Malangnya dewasa ini begitu banyak ulama-ulama jahat yang mengatakan kononnnya jihad bertujuan mencari syahid adalah salah. Siapalah agaknya mereka berbanding Imam Ghazali…….

Sufyan Ath Thauri dan Bisyr Al Hafi (kedua-duanya wali besar) mengatakan: “Hanya orang yang ragu-ragu yang benci kepada kematian kerana orang yang bercinta walau bagaimanapun tidak akan benci bertemu dengan Kekasihnya.”

Bolehkah seseorang itu dikatakan mencintai Allah sedangkan dia tidak mencintai mati? Kata Imam Ghazali: “Benci kepada kematian itu ada kalanya kerana cinta kepada dunia, merasa sedih (untuk) berpisah dengan isteri, harta dan anak-anak. Ini menyebabkan kecintaan kepada Allah Taala tidak sempurna kerana cinta itu hanya sempurna apabila dihabiskan seluruh hati (hanya kepada Allah).”

Sesungguhnya kenikmatan yang akan dikecapi ketika bertemu dengan Tuhan bergantung pada kadar kecintaan seseorang itu kepada Tuhan ketika di dunia. Lebih besar kecintaannya, lebih besarlah kenikmatan dan kelazatan ketika menemui Allah nanti.

Begitu pula halnya dengan azab yang ditanggung ketika hendak berpisah dengan dunia (mati). Lebih besar kecintaannya kepada dunia, maka lebih besarlah pula azab yang dirasa ketika nyawa hendak keluar. Maka, zuhudlah ketika hidup, nescaya mudah ketika sakaratul maut.

Renungkanlah kisah Nabi Yusuf a.s. dengan Zulaikha. Sebelum Allah menganugerahkan iman ke dalam diri Zulaikha, dia sanggup memerangkap Nabi Yusuf yang kacak itu untuk memuaskan nafsu syahwatnya, tetapi digagalkan oleh Allah SWT. Dia juga sanggup memfitnah Nabi Yusuf dengan tuduhan cuba mencabul kehormatannya pula.

Akhirnya, setelah beriman dan dianugerahkan kecintaan oleh Allah, dia berjaya juga menjadi isteri Nabi Yusuf. Namun begitu jiwa nuraninya telah berubah sama sekali. Daripada tergila-gilakan Nabi Yusuf Zulaikha kini tergila-gilakan Allah pula. Dia sering mengasingkan diri dan menghabiskan masanya dengan beribadah. Seringkali Nabi Yusuf mengajaknya tidur bersama tetapi dia enggan. Kata Zulaikha: “Wahai Yusuf. Memang aku mencintaimu sebelum aku mengenal Dia. Apabila aku telah mengenal Dia, nescaya aku tidak mencintai yang lain selain kecintaan kepadaNya. Aku (juga) tidak mahu akan gantiNya.”

Nabi Yusuf a.s. pun berkata kepada Zulaikha: “Sesungguhnya Allah Yang Maha Agung Sebutan-Nya yang menyuruh aku demikian (tidur bersama Zulaikha). Dia memberitaku kepadaku yang Dia akan mengeluarkan dua orang anak daripada engkau. Dan kedua-dua orang anak itu nanti akan dijadikan-Nya nabi.” Setelah Zulaikha tahu itu perintah Allah, maka dia pun taat kerana yakin itulah jalan yang dibukakan oleh Allah untuk dia, yang akan mendekatkan lagi dirinya dengan Allah.

Sesiapa yang mencintai Allah sudah tentu tidak akan berbuat maksiat kepadaNya. Sebaliknya akan sentiasa taat dan patuh kepada kehendak Kekasih Agungnya.

Sahal berhata: “ Bukanlah semua orang yang beramal dengan mentaati Allah Azza wa Jalla itu (akan) menjadi orang yang dikasihi (Tuhan). Orang yang dikasihi (Tuhan) itu itu ialah orang yang menjauhkan segala yang dilarang.”

http://allahcintaagung6.blogspot.com/

MAKSUD ‘CINTA’ YANG SEBENAR

Banyaklah hadis-hadis dan atsar-atsar yang berkisar tentang kecintaan kepada Allah Taala yang tidak terkumpul oleh mereka yang mengumpulkannya.Dengan itu, jelaslah hal kecintaan kepada Allah Taala itu. Yang kabur adalah untuk memastikan maknanya yang sebenar.

Kecintaan tidak akan terwujud kecuali setelah ma’rifah (kenal) dan idrak (tahu). Ini kerana manusia tidak akan mencintai sesuatu yang belum dikenali dan diketahuinya. Perasaan cinta timbul setelah manusia kenal dan tahu tentang sesuatu itu. Para sufi meletakkan ma’rifah (kenal) lebih tinggi daripada idrak (tahu).

Dalam usaha untuk mencintai Allah dengan sebenar-benar cinta, kita mestilah mengenal Allah terlebih dahulu dan seterusnya ‘faham’ akan Allah. Mereka yang sampai ke tingkat ini dinamakan ‘Arifbillah’ iaitu orang-orang yang kenal dan faham akan Allah. Malangnya manusia dari golongan ini sangat sedikit bilangannya Kebanyakan para alim ulama hari ini pun hanya berada di tingkat ‘Alimullah” iaitu orang-orang yang tahu akan Allah, namun tidak sampai ke peringkat kenal dan faham akan Allah.

Tersebut dalam kitab Zabur: “Siapakah yang lebih zalim, daripada orang yang beribadah kepada-Ku kerana syurga ataupun neraka? Kalaulah Aku tidak menciptakan syurga dan neraka, apakah Aku tidak berhak untuk ditaati?

Nabi Isa a.s. melewati suatu kaum yang kuat beribadah dan kurus-kurus badan mereka. Kata mereka, “ Kami takut akan neraka dan kami mengharap akan syurga.” Nabi Isa a.s. menjawab, “Yang kamu takuti itu ialah makhluk dan yang kamu harapkan itu juga makhluk.”

Nabi Isa a.s. melewati pula satu kumpulan lain yang sama keadaannya seperti kumpulan pertama tadi lalu kata mereka, “Kami menyembah-Nya kerana cinta kepada-Nya dan membesarkan-Nya kerana keagungan-Nya.” Jawab Nabi Isa a.s: “Kamulah wali-wali Allah (para aulia) yang sebenarnya. Aku telah disuruh untuk tinggal bersama-sama kamu.”

Kata Abu Hazim: “Aku malu untuk beribadah kepada-Nya kerana pahala dan siksa. Kalau aku berbuat demikian, aku tak ubah seperti hamba yang jahat. Kalau tidak takut, maka tidak bekerjalah. Atau seperti orang jahat yang diupah. Kalau tidak diberi upah, nescaya dia tidak bekerja.”

Kelazatan yang paling agung dan paling tinggi adalah mengenal Allah Taala dan memandang kepada wajah-Nya yang Maha Mulia. Tidak ada kelazatan lain yang lebih utama daripada kelazatan ini.

Apabila seseorang itu berjaya ditempatkan di syurga Allah, maka dia juga berpeluang melihat Allah pada waktu-waktu tertentu mengikut taraf dirinya di sisi Tuhan. Sesungguhnya kenikmatan memandang wajah Allah ketika di dalam syurga itu membuatkan kenikmatan dan kelazatan syurga seperti istana, taman-taman, bidadari, sungai madu, sungai arak dan sebagainya langsung tidak ada nilai. Dengan sebab itulah ibadah para sufi adalah bermatlamatkan ‘memandang wajah Allah’, bukannya setakat ingin masuk ke dalam syurga.

Lumrah alam, jika kita berazam untuk mendapat nombor satu di dalam perlumbaan, kalau tidak mendapat nombor satu pun sekurang-kurangnya kita akan mendapat tempat kedua atau ketiga. Tapi jika dari awal lagi kita sudah berazam untuk mendapat tempat ketiga, adalah mustahil untuk kita mendapat tempat pertama. Bahkan tempat ketiga pun belum tentu lagi.

Begitu jugalah halnya dengan alam akhirat. Apabila kita bermatlamatkan untuk ‘berada di hadapan Allah memandang wajah-Nya”, kalau tidak kesampaian pun sekurang-kurangnya kita akan mendapat syurga. Tapi kalau sedari awal lagi kita bermatlamatkan syurga sahaja, sudah tentulah kita tidak akan mendapatkan Tuhan. Bahkan boleh jadi terlepas pula syurga itu.

Sebahagian daripada para syeikh (guru agama) telah mimpi bertemu Bisyru bin Al Harts (seorang wali Allah yang masyhur) dan bertanya kepadanya: “Apakah yang sedang dibuat oleh Abu Nasar At Tammar dan Abdul Wahhab Al Warraq?” Jawab Bisyru Al Harts, “Aku tinggalkan kedua-duanya sesaat di hadapan Allah Taala, (mereka sedang) makan dan minum (di hadapan-Nya).”

“Engkau pula bagaimana?” Bisyru menjawab , “Allah Taala tahu yang kegemaran aku kepada makan dan minum adalah sangat sedikit. Oleh itu aku dibiarkan-Nya memandang kepada-Nya.”

Bisyr bin Al Harts lebih dikenali dengan nama Bisyr Al Hafi yang bermaksud Bisyr Si Kaki Ayam kerana dia tidak memakai sebarang alas kaki ataupun kasut ke mana saja dia pergi. Sebelum dipilih menjadi wali Allah,Bisyru merupakan seorang pemabuk.

Suatu hari, dalam keadaan mabuk dia telah terjumpa secarik kertas yang tertulis ‘Bismillahirrahmanirrahim’. Kertas itu diambilnya lalu direnjisnya dengan minyak wangi. Kemudian disimpannya di suatu tempat yang sesuai di rumahnya.

Pada malam itu Bisyr bermimpi mendengar satu suara yang berbunyi: “Kerana engkau telah mengharumkan nama-Ku, maka Aku pun akan mengharumkan nama-Mu. Kerana engkau telah menjaga nama-Ku, maka aku pun akan menjaga namamu.” (Mimpinya ini akhirnya menjadi kenyataan apabila namanya terus disebut-sebut oleh orang-orang soleh sehingalah ke zaman ini).

Bisyr tidak menghiraukan mimpinya itu kerana mimpi orang yang suka minum arak sepertinya mustahil benar seperti mimpi orang-orang soleh. Dengan itu dia meneruskan kehidupannya sebagai seorang yang suka berpoya-poya dan bermabuk-mabukan.

Suatu hari Bisyr mengadakan pesta di rumahnya. Tiba-tiba pintu diketuk orang. Pelayan Bisyr pun membukanya. Rupa-rupanya ada seorang lelaki yang tidak dikenali. Tanya lelaki itu: “Adakah tuan rumah ini seorang hamba?” Jawab si pelayan: “Tidak, sudah tentulah dia seorang yang merdeka.” Sambung lelaki itu lagi: “Katakan kepadanya, kalau dia seorang hamba, memang tidak patut dia berbuat seperti ini.”

Si pelayan pun memberitahu Bisyr akan kata-kata lelaki misteri itu kononnya Bisyr adalah seorang hamba. Bisyr amat terperanjat lalu terus mengejar lelaki tadi. Dia meminta lelaki itu mengulang balik kata-katanya. Barulah Bisyr sedar yang dia hanyalah seorang hamba, anak kepada seorang hamba dan berketurunan hamba iaitu ‘hamba kepada Allah Taala’. Ketika itu juga Bisyr menangis dan bertaubat.

Ketika dia bertaubat itu dia tidak memakai apa-apa alas kaki kerana begitu terburu-buru mengejar lelaki misteri tersebut.Dengan itu dia bersumpah untuk tidak akan memakai alas kaki atau pun kasut seumur hidupnya. Mengembaralah dia dengan berkaki ayam sahaja sehingga mendapat gelaran Bisyr Al Hafi.

Banyaklah karamah yang terjadi kepada diri Bisyr Al Hafi seperti pernah berjalan di atas air, bertemu Rasulullah dan Saidina Ali di dalam mimpi dan menjatuhkan perompak dengan punggungnya sahaja. Dengan sebab dia membiasakan diri berpuasa pada siang hari maka itulah Allah telah membenarkannya untuk memandang wajah Allah sentiasa berbanding dua orang soleh sebagaimana dalam mimpi di atas.

Ali bin Muwaffaq berkata: “Aku bermimpi seakan-akan masuk ke dalam syurga.Aku melihat seorang lelaki duduk pada suatu hidangan. Dua orang malaikat di kiri dan kanannya sedang menyuapkannya dengan semua makanan yang lazat-lazat. Dan orang itu terus makan. Aku melihat pula seorang lelaki yang berdiri di pintu syurga sedang memerhatikan wajah semua manusia. Sebahagian manusia dibenarkannya masuk dan sebahagian lagi ditolaknya.”

Ali bin Al Muwaffaq meneruskan ceritanya: “Kemudian aku melewati kedua orang lelaki tersebut menuju ke Hadhiratul Quds (suatu tempat di kanan ‘arasy). Aku lihat di khemah Al ‘arasy ada seorang lelaki memandang ke atas, melihat kepada Allah Taala, yang tidak berkerdip matanya. Lalu aku pun bertanya kepada malaikat Ridhuan, “Siapakah ini?”

Malaikat Ridhuan menjawab, “Ma’ruf Al Karkhi (seorang sufi besar). Dia beribadah kepada Allah bukan kerana takut kepada neraka-Nya dan tidak pula kerana rindu kepada syurga-Nya, tetapi kerana cinta kepada-Nya. Maka dia dibolehkan memandang kepada-Nya sampai Hari Qiamat.”

Abu Sulaiman berkata: “Siapa yang pada hari ini (ketika hidup) sibuk dengan urusan dirinya sendiri, maka dia itu esok (setelah mati) akan sibuk dengan dirinya sendiri. Siapa yang hari ini sibuk dengan Tuhannya, maka dia itu esok akan sibuk dengan Tuhannya.”

Sufyan As Tsauri pernah bertanya kepada Rabiah binti Ismail Al Adawiyah: “Apakah hakikat iman engkau?” Jawab Rabiah , “Aku tidak beribadah kepada-Nya kerana takut akan neraka-Nya dan tidak pula kerana cinta kepada syurga-Nya. Jika aku berbuat begitu, seolah-olah aku ini seorang jahat yang diberi upah. Akan tetapi aku beribadah kepada-Nya kerana cinta dan rindu kepada-Nya.

Abu Darda berkata kepada Ka’ab: “Terangkanlah kepadaku tentang ayat yang paling khusus dalam Taurat.” Ka’ab menjawab: “Allah Taala berfirman: “Lamalah sudah rindunya orang-orang baik untuk menemui-Ku. Dan sesungguhnya Aku lebih lagi tersangat rindu untuk menemui mereka.”

Ka’ab meneruskan katanya: “Dan tertulis di pinggir Taurat: “Siapa yang mencari Aku, nescaya dia akan mendapat Aku. Dan siapa yang mencari selain Aku, nescaya dia tidak akan mendapat Aku.”

Lalu Abu Darda berkata, “Aku naik saksi, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW berkata sedemikian.”

Dalam berita-berita Nabi Daud a.s., Allah Taala ada berfirman: “Wahai Daud! Sampaikanlah kepada penduduk bumi-Ku, bahawa Aku mencintai siapa yang mencintaiKu. (Aku) duduk dengan siapa yang duduk-duduk denganKu. Berjinakan dengan siapa yang berjinakan dengan mengingatiKu. Teman kepada siapa yang berteman denganKu. Memilih dengan siapa yang memilih Aku. Patuh dengan siapa yang mematuhiKu. Siapa yang mencari Aku dengan kebenaran, nescaya dia akan mendapat Aku. Dan siapa yang mencari selain daripadaKu, nescaya dia tidak akan mendapat Aku. Lemparkanlah wahai penduduk bumi, akan apa yang berada kamu di atasnya, daripada tipuannya. Marilah kepada kemulian-Ku, berteman dengan Aku dan duduk-duduk dengan Aku. Berjinak-jinaklah dengan Aku, nescaya Aku berjinak-jinak pula dengan kamu. Dan Aku bersegera mencintai kamu.”

Sebahagian salaf meriwayatkan bahawa Allah Taala ada menurunkan wahyu kepada sebahagian orang-orang as siddiqin: “Sesungguhnya aku mempunyai hamba-hamba daripada hamba-hamba-Ku, yang mencintai Aku dan Aku mencintai mereka. Mereka rindu kepada-Ku dan Aku (juga) rindu kepada mereka Mereka mengingati (berzikir) kepada-Ku dan Aku ingat kepada mereka.. Mereka memandang kepada-Ku dan Aku memandang kepada mereka. Maka kalau engkau ikuti jalan mereka, nescaya Aku cinta kepada engkau. Dan jikalau engkau berpaling daripada mereka, necsaya Aku kutuk akan dikau.”

Orang as siddiqin beratanya: “Wahai Tuhanku. Apakah tanda-tanda (untuk mengenali) mereka?” Allah Taala berfirman: “Mereka memelihara akan naungan di siang hari, sebagaimana penggembala yang kasih sayang memelihara kambingnya. Mereka rindu kepada terbenamnya matahari, sebagaimana rindunya burung kepada sarangnya di waktu matahari terbenam (senja).Apabila mereka diselubungi waktu malam, bercampur aduk kegelapan, dibentangkan (mereka) tikar, ditegakkan tempat tidur dan setiap kekasih bersunyi-sunyian dengan Kekasihnya. Nescaya mereka payah berdiri di atas tapak kaki mereka, (dan payah pula untuk) berbaring di atas muka mereka. Mereka bermunajah (berbicara) kepadaKu dengan firman-Ku, (mereka) bercumbu-cumbuan kepadaKu dengan kenikmatanKu.”

Sememangnya para sufi ternanti-nantikan waktu malam untuk duduk-duduk bersama KekasihYang akan Kekal Selamanya dengan mereka. Dikatakan Syeikh Abdul Wahid rah.a.tidak pernah tidur malam selama empat puluh tahun. Beliau mengerjakan solat Isya’ dan solat Subuh dengan wuduk yang sama. Ini terjadi juga kepada Raja Para Wali- Syeikh Abdul Qadir Jailani.

Diberitakan bahawa ada seorang alim yang pernah beribadah selama dua belas hari dengan satu wuduk sahaja. Dia juga khabarnya tidak pernah membaringkan dirinya di tempat tidur selama lima belas tahun.

Imam Ahmad bin Hanbal yang mengasaskan mazhab Hambali dikatakan bersolat sunat sebanyak 300 rakaat pada setiap malam. Said bin Al Musayyab menunaikan solat Subuh dengan wuduk solat Isya’ selama 50 tahun. Pendiri mazhab Hanafi pula iaitu Imam Abu Hanifah dikatakan menunaikan solat Subuh dengan wuduk solat Isya’ selama 40 tahun. bayangkanlah, selama berpuluh-puluh tahun mereka menghidupkan waktu malam dengan duduk-duduk bersama Kekasih. Hanya hamba yang sudah jatuh cinta kepada Tuhannya saja yang dapat melakukan sedemikan.

Nabi Daud pernah berkata: “Wahai Tuhanku. Tunjukkanlah kepadaku orang-orang yang mencintai Engkau.” Lalu Allah berfirman: “Hai Daud. Pergilah ke bukit Lebanon. Di sana ada empat belas orang manusia yang terdiri daripada para pemuda, ketua-ketua dan orang-orang tua. Apabila engkau sampai kepada mereka, sampaikanlah salamKu kepada mereka. Katakan kepada mereka yang TuhanMu menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: “Apakah kamu tidak mahu meminta apa-apa hajat keperluan? Sesungguhnya kamu adalah kekasih-Ku, pilihan-Ku dan wali-wali-Ku. Aku gembira kerana kegembiraanmu dan aku bersegera kepada mencintaimu. Dan Aku memandang kepada kamu pada setiap saat, sebagaimana pandangan seorang ibu yang (penuh) kasih sayang dan lemah lembut.”

Maka Nabi Daud a.s. pun pergilah kepada mereka. Dilihatnya mereka sedang duduk berhampiran suatu mata air sedang bertafakur kepada kebesaran Allah Azza wa Jalla. Apabila mereka ternampak Nabi Daud, merekapun bangun untuk mengelakkan diri daripadanya.

Nabi Daud a.s. pun berkata: “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu. Aku datang untuk menyampaikan risalah Tuhanmu..” Mereka pun terus menghadapkan diri mereka ke arah Nabi Daud dan memberi perhatian kepadanya. Namun begitu kepala mereka tetap tunduk ke bumi.

Nabi Daud berkata lagi: “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan salamNya kepada kamu”. Kemudian Nabi Daud pun menceritakan bagaimana firman Allah SWT kepada mereka. Maka mengalirlah air mata di pipi mereka. Ketua mereka berkata: “Subhanaka. Subhanaka (Maha Suci Engkau).” Seterusnya seorang demi seorang mereka meluahkan isi hati mereka kepada Allah SWT.

Maka Allah Taala menurunkan wahyu kepada Nabi Daud a.s. yang berbunyi: “Katakan kepada mereka, Aku sudah mendengar perkataan kamu dan aku perkenankan kamu.”

Nabi Daud lalu bertanya: “Wahai Tuhanku. Bagaimanakah mereka dapat memperolehi semua ini daripada Engkau?”

Tuhan berfirman: “Dengan berbaik sangka dan mencegah diri mereka daripada dunia dan penghuninya. (Mereka) bersunyi-sunyian dengan Aku dan bermunajah kepada Ku.”

sumber:
http://allahcintaagung4.blogspot.com/