Khamis, September 17, 2009

Medan Ain Jalut : Kepimpinan Beramanah Wajib Dibaiah.


Sesungguhnya bulan Ramadhan ini adalah bulan rahmat yang mana seorang Muslim itu giat berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dan mendapatkan ganjaran yang berlipat ganda dariNya. Ia juga merupakan bulan yang memberikan banyak pelajaran kepada umat Islam seperti yang tertulis di dalam lipatan sejarahnya. Sepanjang bulan ini kaum Muslimin telah banyak berjuang dalam pertempuran yang dengan demikian itu rahmat Islam telah berjaya dikembangkan ke tanah yang baru dan penjajah tanah umat Islam dihalau demi menegakkan kembali kekuasaan Islam dan umatnya. Salah satu peperangan yang terkenal adalah Perang Ain Jalut yang berlaku dalam tahun 658 hijriah menentang penjajahan kaum Tartar, yang dianggap sebagai salah satu daripada kejayaan luar biasa yang pernah tercatat dalam sejarah kemanusiaan. Mengambil kira situasi sukar yang berlaku terhadap umat Islam masa kini di Afghanistan, Palestin, Kashmir, Indonesia, Bosnia, Chechnya - malah umat Islam di seluruh dunia secara umumnya, banyak /kesamaan dan iktibar penting yang dapat kita timba dari peristiwa peperangan yang terkenal ini.

Gambaran Keseluruhan Peperangan

Di penghujung tahun 656 Hijriah, bangsa Tartar telah melancarkan satu serangan mereka yang terbesar ke atas tanah Khilafah Muslimin yang mengakibatkan jatuhnya kota Baghdad, terbunuhnya Khalifah Mu’tasim Billah, dan terjajahnya tiga per-empat dari wilayahnya. Sewaktu dalam perjalanan menghala ke Mesir dan Maghribi, kubu akhir yang terkuat bagi kaum Muslimin, tentera Tartar telah menghantar sepucuk surat ancaman untuk Wali (Gabenor) wilayah Mesir, Mahmoud Saifudeen Qutuz, yang antara lain menyatakan, "Kami telah menghancurkan tanah itu, menjadikan anak-anak mereka yatim-piatu, menyeksa dan membunuh mereka, mencabul kehormatan mereka dan menjadikan pemimpin mereka tawanan. Apakah anda fikir anda boleh melepaskan diri daripada kami? Anda akan tahu selepas ini apa yang akan datang kepada anda..." mereka menjangkakan, ugutan semacam ini sudah mampu untuk mematahkan rintangan kaum Muslimin terhadap kemaraan mereka lantaran kelemahan dan rendahnya moral dan semangat kaum Muslimin ketika itu. Qutuz bagaimanapun telah memberikan jawapan yang berbeza. Beliau telah membunuh semua delegasi tentera Tartar tersebut dan mayat mereka dibiarkan tergantung di dalam kotanya, sehingga tindakannya itu dilihat berjaya meningkatkan semangat tentera dan rakyatnya, dan dari satu sudut yang lain pula ia berjaya menyampaikan amaran keras terhadap pengintip yang dihantar serta pengikut setia musuhnya.

Ia telah berjaya menaikkan semangat kaum Muslimin ketika itu dan pada masa yang sama telah mengejutkan kaum Tartar kerana mereka sedar bahawa mereka sedang menghadapi seorang pemimpin yang lain daripada apa yang telah mereka jumpai sebelum ini.

Qutuz kemudiannya menghimpunkan kaum Muslimin untuk menghadapi pertempuran yang tidak dapat dielakkan tersebut. Di bawah kepimpinannya, kaum Muslimin telah bersatu atas dasar Iman, kesepakatan, dan senjata-senjata besi yang perlu telah disediakan untuk berhadapan dengan musuhnya. Dia turut memohon bantuan dari pegawai-pegawainya dan para ulama’ untuk bersama-sama dengannya menyeru kaum muslimin untuk berjuang mempertahankan Islam dan menumpukan usaha untuk membebaskan tanah-tanah mereka yang telah dijajah.

Tibalah masa untuk pertempuran yang kemudiannya berlaku di medan perang Ain Jalut bersamaan dengan hari Jumaat, 25 Ramadhan 658 hijriyah. Qutuz sendiri yang mengepalai tentera kaum Muslimin ke medan perang telah memberikan goncangan pada jiwa tentera-tentera Tartar. Memerhatikan situasi ini, Qutuz kemudiannya memanjat naik atas seketul batu besar, mencampakkan topi perangnya, beliau melaungkan "Wa Islamah. Wa Islamah." (Demi Islam! Demi Islam!). Beliau menyeru tentera-tenteranya menetapkan hati berjuang menentang musuh-musuh Allah. Kemudian pemimpin tentera Muslimin beliau yang asalnya berasa goyah dan putus asa terhadap pertempuran ini berpaling apabila mendengar suara beliau yang garang bersama riak mukanya yang kemerahan marah menghayun dan menebas pedangnya dengan penuh keberanian untuk menewaskan musuh-musuhnya. Keberanian Qutuz ini telah memeranjatkan pemimpin-pemimpinnya yang pantas mengikuti langkah-langkahnya, dan akhirnya meningkatkan semangat tentera Islam keseluruhannya. Lama-kelamaan pertempuran itu telah mulai memihak kepada tentera Muslimin sehinggalah kemudiannya barisan tentera Tartar dihancurkan memaksa mereka melarikan diri dari medan pertempuran. Kemenangan berpihak kepada Islam dan kaum Muslimin. Bagi tentera Tartar, apabila mereka menyedari serangan dan dominasi mereka ke atas wilayah Timur Islam semakin pudar dan umat Islam berjaya meningkatkan kembali kekuatannya, mereka telah melarikan diri pulang ke tanah air mereka, yang memudahkan usaha-usaha Qutuz untuk membebaskan kesemua wilayah Shaam dalam masa beberapa minggu. Kemenangan besar kaum Muslimin di bawah kepimpinan yang ikhlas tersebut, yang pada satu masanya adalah sangat lemah dan dikuasai oleh musuh, mempunyai banyak kesamaan ke atas keadaan umat Islam pada hari ini.

Perbandingan 1 - Pengkhianatan Pemimpin

Keupayaan kaum Tartar menghancurkan umat Islam, mengambil alih ibu kota Khilafah, membunuh rakyat-rakyatnya yang tidak berdosa, dan menjajah sehingga dua pertiga tanah umat Islam, adalah sebagai akibat daripada pengkhianatan yang dilakukan oleh Al-‘Alkami. Al-‘Alkami adalah menteri Khalifah Mu’tasim Billah. Dia memperdaya Mu’tasim supaya melakukan perdamaian dengan pihak Tartar sementara itu pada masa yang sama dia telah mengikat perjanjian rahsia dengan mereka, menjanjikan untuk mereka pelepasan dari sebarang halangan semasa serangan mereka dengan syarat mereka melantiknya menjadi Khalifah dan membenarkan dia mendirikan kerajaannya sendiri di Baghdad. Pengkhianatan ini telah membawa kepada kematian Mu’tasim dan pegawai-pegawainya yang ikhlas serta ulama yang diutus oleh khalifah untuk berunding dengan kaum Tartar kemudiannya telah dibunuh oleh mereka. Ia juga membawa kematian kepada dirinya sendiri di tangan kaum Tartar, dan janji mereka kepadanya tidak memberikan apa-apa makna.

Bandingkan pengkhianatan yang dilakukan oleh Al-Alkami dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin umat Islam pada masa sekarang. Kaum Muslimin telah diperdaya supaya melakukan perdamaian dengan Israel melalui tindakan pemimpin-pemimpin, yang kebanyakannya telah melakukan perdamaian ini secara terbuka, seperti Hosni Mubarak di Mesir, Raja Abdullah di Jordan, dan Yasser Arafat di Palestin. Hasil dari pengkhianatan ini, entiti Israel terus wujud dan juga pembelotan serta pertumpahan darah Muslimin di Palestin yang hidup umat yang tertindas di bawah pemerintahan Israel. Apa yang pemerintah ini dapat sebagai balasan daripada pihak musuh tersebut? Keadaan ekonomi yang parah, masyarakat yang terabai, hilangnya kuasa politik, ketakutan yang berpanjangan terhadap Israel dan umat Islam yang telah mengetahui tentang pembelotan pemimpin-pemimpin ini yang berusaha untuk menjatuhkannya. Contohnya Musharraf yang cuba meyakinkan umat Islam di Pakistan tentang faedah-faedah membenarkan Amerika mengebom muslimin di Afghanistan atas dasar manfaat ekonomi, penghapusan sekatan ekonomi dan pembentukan kerajaan baru di Afghanistan. Apa yang Musharraf dapat sebagai balasan terhadap perkhidmatannya kepada Amerika? Faedah ekonomi yang dijanjikan oleh Amerika tidak memberi sebarang kesan terhadap jumlah hutang yang dimilikinya lantaran polisi penyesuaian struktur IMF yang sukar dan telah menempatkan sumber ekonomi paling penting Pakistan berada di tangan pelabur-pelabur dan institusi swasta asing sehingga meletakkan umat Islam di Pakistan terus berada dalam kesusahan. Secara politik, Musharraf ‘terkejut' apabila mendapat tahu NATO telah memasuki Kabul dengan kebenaran Amerika, walhal sebelumnya Amerika telah berjanji untuk menghalang NATO daripada memasukinya sehingga ia berunding dengan kepimpinan Pakistan.

Pemimpin-pemimpin ini dan pengkhianatan yang mereka lakukan tidak membawa apa-apa keuntungan sama ada kepada Islam, Muslimin, malah kepada diri mereka sendiri - namun mereka masih meneruskannya.

Firman Allah SWT:

“(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).”[TMQ An-Nisa’[4]: 139]

Perbandingan 2 – Reaksi kepada Ancaman Musuh

Tentera Tartar telah memberikan ugutan dan peringatan kepada kaum Muslimin mengenai sebarang penentangan terhadap penjajahan dan pemerintahan mereka. Tetapi, walaupun tentera Muslim berada dalam keadaan yang lemah dan rendah semangat mereka, Qutuz bangkit dengan keyakinan terhadap Islam dan bertindak balas terhadap surat ancaman tersebut dengan ancaman yang lebih kurang serupa. Tindakan beliau ke atas delegasi kaum Tartar tersebut adalah untuk menyampaikan mesej kepada mereka bahawa mereka sedang berhadapan dengan seorang pemimpin yang tidak akan berkompromi terhadap penghinaan/penodaan terhadap Islam, umatnya dan tanahnya. Beliau kemudiannya telah menggerakkan tentera-tenteranya untuk persediaan peperangan tersebut.

Bandingkan hal ini dengan keadaan semasa Bush, Presiden AS mengumumkan bahawa perang Afghanistan adalah peperangan yang mana negara-negara dunia harus memilih sama ada ingin berpihak kepada AS atau menjadi musuh AS. Di hadapan delegasi PBB, dia memberikan ancaman dengan menyatakan “Sama ada anda bersama atau menentang kami”. Bagaimana pemimpin-pemimpin umat Islam telah bertindak balas terhadap ugutan ini yang membawa kepada penodaan ke atas Islam, umat dan tanahnya?

Musharraf, Karimov dan pemimpin Turki adalah antara mereka yang bukan hanya menyokong tindakan dan ugutan Amerika ini, malah turut menyediakan bantuan logistik dan perisikan ke atas serangan yang dilakukan pada umat Islam di Afghanistan. Pemimpin Libya, Muamar Gadafi dan pemimpin Jordan, Abdullah adalah antara mereka yang menyatakan sokongan mereka pada Amerika kepada umum dan malah memberikan sokongan kepada Amerika untuk meneruskan pengeboman walaupun dalam bulan Ramadhan. Pemimpin yang lain seperti Bashier (Sudan) dan Arafat menawarkan sokongan mereka dengan mengumpulkan senarai “pengganas yang disyaki” di dalam negara mereka dan menyerahkannya kepada CIA.

Orang-orang seperti Basar al-Assad pemerintah Syria, yang memberikan sokongan secara tidak lansung mereka kepada Amerika untuk mendapatkan jaminan supaya ancaman dan serangan Amerika ini hanya terbatas setakat di Afghanistan sahaja dan tidak merebak ke negara-negara Arab. Manakala untuk orang-orang seperti Saddam Hussein, penentangannya terhadap Amerika yang ditunjuk-tunjukkan kepada umum tidak boleh dianggap sama seperti kedudukan Qutuz. Qutuz berdiri untuk Islam dan semangatnya untuk membela Islam, manakala Saddam pula telah menodai/menghina agama Islam, mencabut nyawa kaum muslimin, dan mengaut kesemua kekayaan milik rakyat di Iraq lebih dahulu awal-awal lagi sebelum kedatangan Amerika. Dan untuk kedudukan politiknya, ianya jelas untuk kepentingan dan faedah tuannya, iaitu pihak British.

Sementara tindak balas Qutuz kepada kaum Tartar telah menaikkan semangat kaum Muslimin dan pada masa yang sama telah memberikan kejutan kepada musuhnya, tindak balas pemimpin hari ini pula dalam menghadapi keadaan yang sama seperti dahulu, telah menyebabkan umat Islam menderita dan pada masa yang sama menjanjikan Amerika mencapai apa sahaja kehendaknya. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu” [TMQ Muhammad (47) : 7]

Perbandingan 3 – Reaksi Para Ulama’

Antara ulama’ terkenal yang melibatkan diri menyeru kaum Muslimin untuk bersatu dan bersedia untuk berjihad di waktu Ain Jalut adalah Sheikh-ul-ulama’ Al-Izz Bin Abdis-Salam. Selain menyahut seruan Qutuz menyeru kaum Muslimin dengan bersemangat dan juga menggunakan mimbar-mimbar masjid untuk memperingatkan kaum Muslimin tentang tanggungjawab mereka, keikhlasan beliau terserlah contohnya apabila Qutuz meminta fatwa untuk membenarkan kerajaan mengambil cukai daripada rakyat bagi tujuan untuk menyediakan kelengkapan perang dan tentera Muslimin, beliau menolak sehinggalah semua harta pemerintah dan pegawai kerajaan dibelanjakan untuk tujuan itu.

Bandingkan hal ini dengan ulama’-ulama’ yang duduk dalam masyarakat pada masa kini, manakala pada masa yang sama ramai lagi pejuang-pejuang agama yang ikhlas menderita disumbatkan ke dalam penjara-penjara di negara umat Islam. Bagaimana ulama’ hari ini sanggup turut bersekongkol bersama dengan pemerintah membelot terhadap Islam dan umatnya di Afghanistan dan di negeri-negeri mereka sendiri. Ketika Putera Nayef, Menteri Dalam Negeri Arab Saudi menyatakan “tidak ada sesiapa yang berhak mengeluarkan fatwa melancarkan jihad dan memberi sokongan ke atas rejim Afghanistan, kecuali Majlis Fatwa atau sesiapa sahaja yang dibenarkan oleh majlis tersebut untuk mengeluarkan fatwa. Ulama bersepakat ke atas perkara ini, dan jihad tidak menjadi wajib sehinggalah perintah melaksanakannya dikeluarkan oleh pemerintah negara tersebut”, ke manakah perginya para ulama’ yang duduk dalam majlis fatwa tersebut yang sepatutnya mengisytiharkan jihad? Malah di Amerika Syarikat, ada seorang Imam yang mengisytiharkan bahawa tanggungjawab seorang tentera Muslim dalam pasukan tentera Amerika dalam mempertahankan tanah air mereka dan menyerang sesiapa sahaja yang dianggap oleh Amerika sebagai musuh. Daripada mempertahankan kebenaran pimpinan yang adil, mereka lebih suka membenarkan pemesongan yang dilakukan oleh pemimpin yang zalim yang telah memisahkan tanah-tanah kaum Muslimin dan menerapkan undang-undang kufur ke atas mereka. Malahan mereka telah mereka telah membenarkan para pemimpin merampas kekayaan kaum Muslimin dengan mengenakan cukai yang tinggi dan melampau seperti kerajaan Pakistan yang mengenakan Cukai Jualan dan peningkatan Cukai Tambahan (Value Added Tax-VAT) yang dikenakan oleh kerajaan Sudan sebagai tambahan kepada cukai yang sedia ada.

Abi al-‘Awar as-Silmi (ra) melaporkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap pintu-pintu yang mendekati penguasa, kerana ia sebenarnya menjadi punca fitnah dan juga kehinaan” [Sahih ad-Dailamee, Ibn Mundah, Ibn-Asaki - as-Saheehah: 1253]


Perbandingan 4 – Persediaan Menghadapi Peperangan

Qutuz telah menghimpunkan pegawai-pegawainya, para Ulama’ dan kaum Muslimin atas dasar Iman, perpaduan dan persediaan untuk berperang serta menumpukan kepada kejayaan yang bakal Allah berikan pada kaum Muslimin ke atas musuhNya. Dana yang mencukupi talah dikumpulkan untuk mencapai objektif ini dan tenteranya telah digerakkan untuk bertarung di medan jihad demi mempertahankan Islam, umat dan tanah kaum muslimin menentang kaum penjajah.

Bandingkan pemerintah umat Islam pada hari ini yang juga telah mengumpulkan para pegawai, ulama’ dan tentera untuk peperangan. Musharraf telah membantu Amerika untuk persediaan peperangan menentang kaum Muslimin dan meninggalkan mereka sepenuhnya. Dia lebih sanggup mengarahkan tenteranya berkawal di sepanjang sempadan Afghanistan-Pakistan bagi menghalang kemasukan kaum Muslimin dari negara itu ke sempadan negaranya bagi mencari perlindungan daripada memerintahkan tenteranya berdiri bersama-sama umat Islam Afghanistan menentang musuh mereka. Musharraf juga menggunakan tenteranya untuk menekan sebarang usaha demonstrasi yang menyatakan sokongan terhadap Jihad di Afghanistan dan menghalang sebarang penyaluran dana untuk jihad di sana. Sementara itu di sebelah Jordan pula ketika serangan Israel ke atas Palestin sedang berlaku. Salah satu unit tentera Jordan yang baru sahaja pulang dari melaksanakan tugas yang jauhnya adalah 1500 batu dari tempat mereka untuk mempertahankan kepentingan British di Sierra Leone sanggup hanya sekadar melintasi sempadan Palestin dan membiarkan sahaja kaum Muslimin yang dibunuh oleh tentera Israel, yang jaraknya dari kawasan mereka hanyalah 10 meter.

Adakah para pemerintah ini telah melupakan perintah Allah SWT yang firmanNya berbunyi:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” [TMQ Al-Anfaal (8) :60]

Dan Allah SWT juga berfirman:

“ Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat...”[TMQ al-Mumtahanah[60]:1]

Perbandingan 5 - Seruan Kembali kepada Islam Ketika Saat Memerlukan

Di waktu tentera Tartar masih lagi menguasai pertempuran, Qutuz telah memanjat sebuah batu besar, mencampakkan topi perangnya sambil melaungkan “Wa Islamah... Wa Islamah” (Demi Islam..Demi Islam), menyeru tenteranya berdiri teguh menentang musuh-musuh Allah. Tindakan beliau ini adalah sama seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sewaktu dalam peperangan Uhud yang mana baginda menyeru sembilan orang Sahabat (radhiallahuanhum) yang berada di sekitar baginda sambil melaungkan, ”Marilah sini! Marilah sini! Akulah Rasulullah,” yang mana pada ketika itu kafir Quraisy telah pun menguasai pertempuran tersebut mengatasi kekuatan Muslimin dan ramai di kalangan kaum Muslimin ketika itu yang mulai lemah dan meninggalkan medan pertempuran selepas mendengar khabar bahawa Rasulullah SAW telah terbunuh. Inilah keimanan, semangat dan rasa cinta terhadap Islam yang ingin dibina oleh Qutuz pada tentera-tenteranya.

Bandingkan situasi tersebut pada pemerintah hari ini. Walaupun keadaan pada ketika ini amat memerlukan penyatuan kaum Muslimin atas dasar Islam dan bantuan dari Allah merupakan satu kepastian, malangnya kita masih melihat pemerintah hari ini melaungkan, “Demi Amerika!! Demi PBB!! Demi NATO!!” Arafat dan pemerintah Arab tidak berusaha mengumpulkan kekuatan kaum Muslimin atas dasar Islam ketika berhadapan dengan Israel. Sebaliknya Arafat telah menyatakan bahawa tidak akan ada perdamaian selagi Amerika tidak masuk campur tangan. Juga seperti mana Mushararraf. Ketika beliau ditekan oleh Amerika berkenaan Afghanistan, dia bertindak menghimpunkan kaum Muslimin supaya menyokongnya di dalam menerima tuntutan Amerika yang mahu menggunakan lapangan terbang Pakistan bagi melancarkan serangan ke atas Afghanistan.

Tidakkah pemerintah-pemerintah ini ingat akan doa Rasulullah SAW ketika baginda dihalau keluar dari Kota Thaif sambil tubuh baginda dibasahi darah akibat dibaling batu oleh kanak-kanak dan hamba abdi, beliau mengadu: “Ya Allah! Kepada Engkaulah aku mengadukan kelemahan kekuatanku, dan sedikitnya daya upayaku dan kehinaanku bagi manusia, ya Tuhan yang Maha Penyayang kepada orang-orang yang kasih sayang. Ya Tuhan, Engkaulah yang memelihara orang-orang yang dipandang lemah, yang tertindas, dan Engkaulah Tuhanku, kepada siapa Engkau akan menyerahkan aku? apakah kepada musuh yang jauh yang amat benci kepadaku, ataukah kepada kawan yang dekat yang telah Engkau beri kekuasaan mengurus urusanku? Jika engkau tidak murka kepadaku, maka tidaklah mengapa, aku tidak peduli, melainkan kemurahan Engkau lebih lapang kepadaku, itulah yang aku harapkan. Aku berlindung kepada Nur Wajah Engkau yang mulia, yang menyinari langit dan bumi, dan yang menerangi semua kegelapan dan memperbaiki urusan dunia dan akhirat. Semoga Engkau janganlah menjatuhkan kemarahan Engkau kepadaku; atau janganlah Engkau menurunkan kemurkaan Engkau kepadaku; Dan kepada engkaulah semua celaan ini aku serahkan sehingga Engkau redha. Dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Engkau jua.”

Perbandingan 6 – Kesan daripada peperangan

Kesan utama daripada peperangan ini adalah pembebasan kaum Muslimin dari penguasaan kaum Tartar dan aqidah mereka yang sesat, meningkatnya keyakinan dan semangat kaum Muslimin, dan juga mendapatkan semula kekuatan dan kedudukan Negara Islam yang telah berdiri semenjak berabad lamanya mempertahankan Islam dan umatnya ke atas tersebarnya kekufuran.

Bandingkan dengan hari ini. Lihat sahajalah pada perang Arab-Israel, Pakistan-India, Bosnia, Palestin, Perang Teluk dan lain-lain lagi yang melibatkan umat Islam, hasil langsung dari kesemua ini adalah pemerintah-pemerintah umat Islam ini telah mengukuhkan lagi kekuasaan kufur ke atas mereka, menghancurkan semangat dan keyakinan kaum Muslimin, mengkhianati Islam dan umatnya. Kesan malapetaka yang berlaku di Afghanistan telah memperlihatkan betapa pemimpin-pemimpin Afghanistan berkumpul seperti peminta sedekah di persidangan Bonn, German yang membincangkan kerajaan baru Afghanistan setelah tertumpahnya darah kaum Muslimin di sana, sementara penjajah Amerika pula sibuk untuk mencari kawasan baru bagi serangan mereka ke atas pengganas.

Kesimpulan

Perang Ain Jalut adalah peristiwa gilang-gemilang yang berlaku dalam lipatan sejarah umat Islam. Jika hendak dibuat perbandingan dengan tujuan untuk mencari pengajaran di dalam usaha untuk membangkitkan semula umat Islam, maka pengajaran yang dapat diambil daripada sejarah perang tersebut adalah:

Di bawah kepimpinan Islam yang ikhlas, umat Islam itu telah disatukan, mereka berjaya memperoleh kekuatan dan mengatasi kelemahan, Iman mereka dihidupkan dan tentera-tenteranya pula dipersiapkan dan digerakkan untuk menghalau penjajah, mempertahankan tanah dan jiwa umat Islam dan mengembalikan kekuasaan kepada Islam.

Pada hari ini kita tidak lagi memiliki pemimpin yang ikhlas dan juga negara Islam yang akan menggerakkan sumber-sumber yang dimiliki umat Islam untuk memikul tanggungjawab terhadap agama dan umatnya. Iaitu pemimpin-pemimpin yang sentiasa mencari kemenangan ke atas musuh Allah, rasulnya dan juga kaum muslimin.

Bulan Ramadhan yang dirahmati ini tidak seharusnya berlalu tanpa umat Islam itu bangkit dan melibatkan diri dalam tugas untuk mengebumikan kepimpinan dan sistem kufur yang sedang menguasai ruang lingkup kehidupan kita pada hari ini.

Semoga Allah SWT memberikan pertolongan kepada kita untuk menunaikan ibadah puasa ini dan menegakkan kembali Khilafah yang akan mengembalikan hak dan kehormatan umat Islam dalam masa terdekat ini.

Sumber : www.khilafah.com

Rabu, September 09, 2009

Mus’ab bin Umair - Duta Islam Pertama


Mus’ab bin Umair adalah sahabat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang sangat berjasa dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam, dia berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu bersaing dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus’ab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Mus’ab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik adiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah mengherankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Mus’ab telah menganut Islam. Ibunya telah mengurung dan menyiksa Mus’ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus’ab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu membujuk ibunya memeluk Islam kerana sayang pada ibunya. Mus’ab membuat pelbagai usaha tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesu. Dia pun menanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahwa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya. Mendengar jawaban ibunya, Mus’ab berkata kepada ibunya: “Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”.

Mendengar jawaban Mus’ab yang begitu tegas dan berani, ibunya pun mengusir Mus’ab dari rumah, maka Tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu. Untuk meneruskan kehidupannya, Mus’ab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Mus’ab. Adik-beradik Mus’ab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus’ab tetap mempertahankan keimanannya.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Mus’ab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping lantaran penyiksaan Quraisy ke atasnya. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat:, “Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah ditengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya”.

Apabila ibu Mus’ab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Mus’ab yang bernama Al-Rum untuk memujuknya. Namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, Al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya. Mus’ab, adalah orang pertama diutus oleh Nabi ke Madinah untuk berdakwah. Hasil dakwahnya, pada tahun tersebut 12 orang Madinah Masuk Islam dan bertemu dengan Nabi di Musim Haji untuk mengikat janji setia dengan Nabi (Perjanjian A’qabah 1). Pada tahun berikutnya 70 lagi orang Madinah masuk Islam dan datang ke Mekah di musim Haji untuk berjanji setia dengan Nabi (Perjanjian A’qabah 2). Kejayaan cemerlangnya inilah, pembuka jalan kepada Nabi dan para sahabat untuk berhijrah ke Madinah.

Sewaktu terjadi peperangan Uhud, Mus’ab ditugaskan memegang bendera-bendera Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Mus’ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.

Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Mus’ab dan menetak tangan kanannya yang memegang bendera Islam. Mus’ab menyambut bendera itu dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai syuhada’ Uhud.

Al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan bendera tersebut daripada jatuh ke bumi. Al- Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus’ab. Al- Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur:

"Apabila ditarik kainnya ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu."

Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankankebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yangpertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah.

Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.

Mus’ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Mus’ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana berbanding darjat dan kehidupan serba mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan akhirat.

Aksi Rasisme Kembali Renggut Nyawa Seorang Muslim Di Inggris


LONDON (Arrahmah.com) - Aksi rasisme kembali memakan korban. Kali ini, seorang muslim paruh baya yang baru selesai melaksana shalat di sebuah mesjid di London menjadi sasaran penyerangan sekelompok siswa rasis hingga meninggal pada hari Senin minggu lalu.

Pria itu bernama Ekram Haque (67). Ekram kehilangan nyawanya seminggu setelah ia dipukuli hingga jatuh tak berdaya oleh sekelompok siswa tak dikenal di hadapan cucunya Marian yang baru berusia tiga tahun, di halaman sebuah mesjid di Tooting, London, setelah ia selesai shalat.

Sebagaimana diungkapkan dalam harian Daily Mail edisi Senin (7/9), menderita cedera berat di bagian kepalanya. Dua orang jamaah telah membantu melerai segerombolan anak muda yang terus-menerus memukuli Akrem.

Cucu perempuannya, Marian, benar-benar terguncang dan tertekan menyaksikan pemukulan kakeknya. Hal itu dituturkan oleh ayah Marian yang juga anak lelaki Ekram Haque, Arfan. Penyerangan pun tanpa sengaja tertangkap di CCTV.

Pengadilan Scotland secara resmi telah mengeluarkan surat penyelidikan setelah Haque meninggal di Rumah Sakit St. George di wilayah Tooting tempat menghabiskan sisa hidupnya dengan bantuan mesin.

Polisi menghubungkan penyerangan yang terjadi pada pensiunan careworker ini dengan serangkaian serangan lainnya yang hampir selalu terjadi pada para orang tua Muslim keturunan Asia di dekat mesjid.

Tiga korban sebelumnya pun adalah pensiunan. Karena desakan warga setempat, akhirnya polisi pun sering berpatroli di sekitar mesjid Idara E Jaaferiya.

Arfan, putra Haque, yang juga merupakan penasihat hukum, menjelaskan bahwa insiden tersebut merupakan kejahatan yang ada di luar dugaan dan tidak pernah bisa masuk di akal sehat.

"Saya benar-benar khawatir pada anak perempuan saya. Saya khawatir mengalami trauma berkepanjangan yang akan mengganggu pertumbuhannya," kata Arfan.

Saat penyerangan berlangsung, Haque baru selesai mengurusi persiapan untuk berlibur ke Pakistan dan Australia bersama cucunya.

"Ia adalah seorang yang baik, penyayang, yang selalu membantu siapapun yang membutuhkan," papar Arfan. (althaf/dm/ansarnet/arrahmah.com)

Jumaat, September 04, 2009

Puteri Kecintaan Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam : SAIDATINA FATIMAH BINTU MUHAMMAD


Hizbut Tahrir Malaysia
Rabu, 02 September 2009 16:30
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

“Malaikat turun lalu menyampaikan khabar gembira kepadaku bahawa sesungguhnya Fatimah bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”.

Serikandi tauladan kali ini menghidangkan kisah salah seorang dari kalangan kerabat terdekat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, belahan hati baginda, sisi pilihan dari kalangan wanita solehah terbaik sepanjang zaman dan pemimpin para wanita penghuni syurga. Beliaulah Saidatina Fatimah Radiallahu anha, puteri pemimpin umat manusia, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam , Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf Al-Qursyiyah Al-Hasyimiyah; ibu Hasanain, Al-Hasan dan Al-Husin.

Fatimah dilahirkan di Ummul Qura, ketika orang-orang Quraisy membina semula bangunan Kaabah,iaitu lima tahun sebelum Nubuwwah. Fatimah Radiallahu anha merupakan puteri bongsu dan puteri paling utama kepada pasangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan Saidatina Khadijah Radiallahu anha. Beliau membesar di rumah nubuwwah yang suci, matanya celik seawal usia untuk menjadi saksi urusan risalah yang dikhususkan Allah bagi ayahnya, Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Ibunya, Saidatina Khadijah bintu Khuwailid Radiallahu anha, wanita terbaik pendamping Rasul akhir zaman. Suami Saidatina Fatimah adalah antara Khalifah Ar-Rasyidin yang utama, pemimpin kaum muslimin di zamannya, Saidina Ali bin Abu Thalib Radiallahu anhu. Anak-anak kepada pasangan ini adalah dua orang pemimpin para penghuni syurga, dua cucu Rasulullah, Al-Hasan dan Al-Husin Radiallahu anhuma. Bapa saudara beliau adalah pemimpin para syuhada’ Asadullah, Hamzah bin Abdul Muthalib. Bapa saudara beliau yang lain adalah pemimpin Bani Hasyim yang biasa melindungi para tetangga, mengorbankan harta, terbiasa bersedekah kepada fakir miskin, iaitu Al-Abbas bin Abdul Muthalib Radiallahu anhu. Jaafar bin Abdul Muthalib Radiallahu anhu, adalah antara bapa saudara beliau yang utama, sekaligus sepupu kepada suaminya, yang merupakan pemimpin para syuhada’, dan panji para mujahidin.

Setelah turunnya wahyu yang membawa tugas risalah kenabian kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari sisi Rabbnya, maka Ummul Mukminin Khadijah Radiallahu anha adalah manusia yang pertama sekali beriman terhadap risalah haq tersebut. Begitu juga dengan puteri-puteri Rasulullah yang suci; Zainab, Ruqayyah, Ummu Kultsum dan Fatimah juga tercatat sebagai orang-orang yang berada di saff hadapan dari kalangan orang-orang terawal menerima Islam. Ibnu Ishaq Radiallahu anhu menyebutkan dari Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah Radiallahu anha sebagai berkata, “Setelah Allah Subhanahu wa Taala memuliakan nabiNya dengan nubuwwah, maka Khadijah dan puteri-puterinya masuk Islam.” Puteri-puteri Rasulullah berada dalam satu ikatan bersama ibu mereka dalam kelompok terdepan di landasan dakwah Islamiyyah, yang dibekali dengan keIslaman dan keimanan yang teguh kepada Allah dan RasulNya.

WANITA YANG SABAR DAN BERTAKWA
Di dalam sirah perjalanan dakwah Rasulullah, baginda bangkit menyampaikan risalah Rabbnya tanpa mengendahkan sebarang cubaan, tekanan, penyeksaan, cacian, perlecehan, dan pendustaan yang dilakukan oleh kaum yang memusuhi baginda. Saidatina Fatimah menyaksikan segala bentuk kesulitan yang dihadapi oleh Rasulullah, malahan beliaulah yang mengubati kesedihan dan menghiburkan hati ayahnya saat berhadapan dengan kejahilan kaum musyrikin ketika itu.

Salah satu peristiwa yang kekal di dalam ingatan puteri Rasulullah ini ialah apabila menyaksikan penghinaan dari salah seorang Quraisy yang kasar dan sangat buruk tingkahlakunya, Uqbah bin Abu Mu’aith. Si jahil ini menawarkan diri untuk melemparkan kotoran isi perut unta ke belakang tubuh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika baginda sedang sujud, sehingga baginda tidak mampu untuk bangkit dari sujudnya. Saidatina Fatimah segera mendatangi ayahnya untumembersihkan kotoran tersebut, sebelum menghampiri kelompok musyrikin yang merancang perbuatan keji itu . Dengan lantang dan penuh berani, beliau mencaci dan mencela tindakan mereka yang sangat tidak beradab.

Seusai solat tersebut, Rasulullah menadahkan tangan baginda dan berdoa bagi kecelakaan mereka, dengan bersabda, “Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Syaibah bin Rabi’ah. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Abu Jahl bin Hasyim. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Uqbah bin Abu Mu’aith. Ya Allah, ada kewajipan untuk Engkau mencelakakan Umayyah bin Khalaf”. Doa baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dikabulkan Allah Subhanahu wa Taala. Nama-nama kaum musyrikin yang disebutkan di dalam doa tersebut terbunuh semasa Perang Badar.

Kehidupan puteri Rasulullah ini juga tidak lari dari penderitaan akibat perbuatan kejam kaum musyrikin yang membenci dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam . Salah satunya ialah ujian pemboikotan ke atas seluruh kaum Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib di mana orang-orang Musyrik menemukan kata sepakat untuk melancarkan boikot secara total terhadap mereka. Tidak ada urusan jual beli, tidak ada pembicaraan, tidak ada pergaulan, sehinggalah Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib menyerahkan Rasulullah kepada orang-orang Quraisy.

Akibatnya, seluruh kerabat Rasulullah kecuali Abu Lahab dipulaukan dan dikepung di perkampungan Abu Thalib. Sepanjang tempoh hampir tiga tahun itu, seringkali kedengaran tangisan anak-anak kecil dan rintihan para wanita lantaran kelaparan. Natijah dari peristiwa ini juga, kesihatan Saidatina Khadijah Radiallahu anha merosot dan berlanjutan sehinggalah beliau kembali bertemu dengan Rabbnya.

Kesan terbesar dari episod pemulauan tersebut ialah pemergian Saidatina Khadijah Radiallahu anha. Dengan kehilangan tersebut, Fatimah lah yang memikul beban kehidupan dan berkongsi penderitaan berat yang dialami oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Walaubagaimanapun, hal tersebut malah menambahkan keimanan dan ketaqwaan dirinya serta membuatkan beliau semakin dekat dengan ayahnya.

Saidatina Fatimah Az-Zahra juga termasuk di antara wanita yang berhijrah. Di Madinah, beliau membuka lembaran baru kehidupan dikelilingi kaum yang murah hati, yang mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka serta melebihkan kaum Muhajirin lebih dari diri mereka sendiri.

TELADAN RUMAHTANGGA ALI DAN FATIMAH
Pada tahun kedua selepas hijrah, Saidina Ali bin Abu Thalib menikahi Saidatina Fatimah dengan maharnya baju besi yang nilainya hanya empat dirham. Pernikahan penuh berkat itu terjadi setelah Perang Badar Al-Kubra.

Sejarah tidak pernah mengenal seorang wanita yang mampu menghimpun kesabaran dan ketakwaan seperti halnya Saidatina Fatimah. Semenjak hari pertama perkahwinannya dengan Ali, beliau terpaksa mengerjakan seluruh tugas rumah tangga yang sangat berat ketika itu, bermula dari kerja menggiling bahan makanan dan membuat adunan roti sehingga rambutnya terkena percikan-percikan tepung atau terkadang terkena debu.

Beliau jugalah yang memproses dan memasak adunan roti tersebut. Ini terjadi kerana suaminya tidak mampu mengupah pembantu untuk membantu Fatimah dalam menyelesaikan urusan rumahtangganya. Bahkan Ali sempat berpesan kepada ibunya, Fatimah bintu Asad kerana menyedari tugas-tugas berat Fatimah di rumahnya, “Janganlah membebani Fatimah bintu Rasulullah dengan pekerjaan di luar rumah, dan cukuplah dia mengerjakan pekerjaan di dalam rumah, membuat tepung, adunan roti dan memasak” . Ali juga menyedari kesan-kesan keletihan di wajah Fatimah, tetapi beliau sering menghiburkan isterinya dengan menyebutkan yang harta rampasan dan tawanan perang akan datang kepada mereka.

Apabila tiba masa yang sesuai, Ali menasihati isterinya agar mendatangi Rasulullah untuk meminta seorang pembantu dari kalangan tawanan perang. Permintaan keduanya ditolak secara baik oleh Rasulullah kerana baginda lebih mementingkan kemaslahatan kaum muslimin yang lain. Rasulullah menyusuli pasangan tersebut di waktu tengah malam dan bersabda kepada keduanya:

"Bagaimana jika kuberitahukan kepada kalian berdua tentang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian pinta kepadaku? Ada beberapa kalimat yang diajarkan Jibril kepadaku, hendaklah kalian bertasbih kepada Allah di hujung setiap solat sebanyak sepuluh kali, bertahmid sepuluh kali dan bertakbir sepuluh kali. Jika kalian beranjak ke tempat tidur,bertasbihlah tiga puluh kali, bertahmidlah tiga puluh kali dan bertakbirlah tiga puluh kali.” [Ditakhrij Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi dan Abu Daud]

Kalimah-kalimah ini menjadi bekalan Ali dan Fatimah yang sentiasa mereka ucapkan sehingga akhir hayat mereka.

KEMULIAAN PERIBADI FATIMAH RA
Abu Nuaim rahimahullah menyifati Fatimah Az-Zahra; dalam Al-Hilyah dengan berkata,” Di antara para wanita yang suci dan bertakwa ialah Fatimah Radiallahu anha. Dia menghindari dunia dan kesenangannya, mengetahui aib dunia dan bencananya.”

Kehidupan Fatimah Az-Zahra diwarnai kesederhanaan namun ditaburi barakah dan cahaya yang mengisyaratkan zuhud, wara’ dan ketakutannya kepada Allah serta sentiasa berbuat baik semata-mata untuk meraih keredhaanNya. Rasulullah pernah menegur Fatimah ketika puteri kesayangan baginda itu mengenakan seuntai kalung dari emas, hadiah pemberian dari suaminya. Rasulullah kemudiannya bersabda: “Wahai Fatimah, apakah engkau suka jika orang-orang berkata, ‘Inilah Fatimah bintu Muhammad, yang di tangannya terpegang kalung dari api neraka?”. Saidatina Fatimah lantas membeli seorang hamba dengan kalung emas tersebut dan memerdekakannya. Sebaik Rasulullah mengetahui hal tersebut, baginda bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan Fatimah dari api neraka”.

Fatimah Az-Zahra mencapai tingkat ketakwaan, keutamaan dan zuhud yang tidak terkalahkan oleh wanita di zamannya. Beliau turut menempati kedudukan yang tinggi dalam hal As-shiddiq, yang suci dan diberkati. Kemuliaan ini diakui sendiri oleh Saidatina Aisyah Radiallahu anha dengan menyebutkan, “ Aku tidak melihat seseorang yang lebih benar perkataannya selain dari Fatimah, kecuali ayahnya”.

Adz-Zahaby Rahimahullah menyebutkan kemuliaan peribadi Fatimah dengan berkata, “Beliau seorang wanita yang sabar, taat beragama, baik, menjaga kehormatan diri, suka bersyukur kepada Allah dan Rasulullah sangat memuliakannya”. Beliau menduduki kedudukan yang istimewa di antara para wanita Islam, sehingga beliau mendapat sebutan al-batul, kerana kelebihan beliau di dalam lapangan ibadah, ditambah dengan kelebihan agama dan keturunannya.

MUJAHIDAH YANG MEMENUHI HAK
Saidatina Fatimah Radiallahu anha tercatat di antara tokoh muslimah yang namanya harum di medan jihad. Di dalam Perang Uhud contohnya, suatu perang yang memberikan pengajaran besar bagi kaum muslimin ketika itu. Imam Al-Bukhari mengisahkan peranan Fatimah dengan berkata, “Beberapa orang wanita dari kalangan Muhajirin dan Ansar keluar, sambil mengusung air dan makanan di belakang mereka, termasuklah Fatimah bintu Rasulullah. Ketika beliau menyaksikan darah mengucur di wajah ayahnya, maka beliau segera memeluknya, lalu mengusap darah di wajah baginda. Pada saat itu, beliau berkata, ‘"Amat besar kemarahan Allah terhadap orang-orang yang membuatkan wajah RasulNya berdarah”.

Sah’l bin Sa’d pula menceritakan peristiwa tersebut dengan menyebutkan, “ Rasulullah terluka sehingga gigi baginda patah. Fatimah bintu Rasulullah mencuci darah yang mengucur di wajah baginda, sedangkan Ali mengalirkan air dengan menggunakan bekas air. Ketika Fatimah melihat bahawa air tersebut semakin membuatkan darah mengalir deras, maka beliau mengambil potongan tikar dan membakarnya sehingga menjadi abu. Lalu disapukan di luka baginda, sehingga darah tidak lagi mengalir dari luka tersebut.”

Fatimah turut menyusuli kehidupan jihad di beberapa tempat lain termasuk di dalam Perang Khandaq dan Khaibar. Di dalam peperangan ini, Rasulullah memberikan bahagian harta rampasan perang berupa lapan puluh lima wasaq gandum dari Khaibar. Fatimah juga ikut bergabung di dalam Fathul Makkah. Ketika itu, beliau menonjolkan sikap yang mulia dan terpuji apabila menolak untuk memberikan jaminan perlindungan bagi Abu Sufyan bin Harb.

KEKASIH RASULULLAH SAW
Rasulullah pernah ditanya oleh seseorang, “Siapakah orang yang paling engkau cintai?”. Baginda menjawab, “Fatimah”. [(Diriwayatkan oleh Ab-Bukhary, Muslim dan Abu Dawud]. Al-Imam Adz-Zahaby Rahimahullah berkata, “Wanita yang paling dicintai oleh Rasulullah ialah Fatimah, sedangkan dari kaum lelaki ialah Ali”.

Diriwayatkan dari Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu, beliau berkata, “ Aku bertanya kepada Rasulullah, "siapakah yang engkau cintai di antara kami, akukah atau Fatimah?’, Baginda menjawab, ‘Fatimah lebih aku cintai daripada engkau, dan engkau lebih aku muliakan daripada Fatimah”.

Fatimah menduduki tempat yang tersendiri di dalam hati Rasulullah, yang tidak dapat ditandingi oleh wanita-wanita lain. Cukuplah kemuliaan baginya seperti yang digambarkan oleh Saidatina Aisyah Radiallahu anha melalui sanad Al-Imam Al-Bukhary, “Aku tidak melihat seorang pun di antara manusia yang lebih mirip dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,dalam perkataannya, dalam ucapannya, dan cara duduknya melainkan Fatimah. Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melihat Fatimah datang, maka baginda menyambutnya, bangkit menghampirinya lalu memeluknya, memegang tangannya dan mendudukkannya di tempat yang sebelumnya baginda duduki. Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang datang, maka Fatimah menyambut, bangkit menghampiri baginda dan memeluknya”.

Gambaran cinta Rasulullah kepada Fatimah turut difahami apabila setiap kegembiraan Fatimah adalah juga kegembiraan baginda, dan setiap kesedihan Fatimah adalah juga kesedihan bagi baginda Nabi. Baginda pernah ‘membaca’ kesalahfahaman di antara puteri baginda dengan suaminya hanya melalui riak wajah Fatimah, lantas mendatangi keduanya untuk memberikan nasihat. Beliau kemudiannya keluar dengan wajah yang berseri-seri dan bersabda “Apakah yangmenghalangiku (dari merasa bahagia)? Aku sudah mendamaikan dua orang yang paling kucintai”.

Sebagaimana Rasulullah senang dengan kegembiraan Fatimah, maka baginda juga marah kerana kemarahan Fatimah. Baginda sangat memperhatikan perasaan puterinya. Dikisahkan bahawa Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu pernah berkeinginan untuk melamar puteri Abu Jahal dan hal ini menimbulkan kesedihan Fatimah. Rasulullah kemudiannya bangkit dan bersabda, "Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian dari diriku dan aku tidak suka jika ada sesuatu yang menyakitinya. Demi Allah, puteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak boleh bersatu dengan puteri musuh Allah pada seorang lelaki (suami)” [Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud]. Perkataan Rasulullah ini membatalkan hasrat Ali untuk melamar puteri Abu Jahal kerana ingin menjaga perasaan Fatimah.

Ibnu Abdil-Barr Rahimahumullah menyebutkan keluhuran Fatimah, yang mengisyaratkan keutamaan beliau di sisi Rasulullah dengan berkata, “Jika Rasulullah tiba dari peperangan atau perjalanan jauh, maka yang pertama sekali baginda lakukan ialah memasuki masjid lalu solat dua rakaat, menemui Fatimah dan barulah kemudiannya menemui isteri-isteri baginda yang lain.”

PERJALANAN MENUJU KEABADIAN
Di akhir hayat Rasulullah, Ummul Mukminin Aisyah menuturkan, “Kami isteri-isteri baginda berkumpul hampir dengan Rasulullah . Baginda tidak mendekati salah seorang di antara kami,kecuali apabila melihat kehadiran Fatimah yang gaya jalannya sangat mirip dengan gaya jalan Rasulullah. Baginda menyambut kehadiran puterinya lalu mendudukkannya sangat hampir di sisi dirinya. Kemudian, baginda membisikkan perkataan yang mampu membuatkan Fatimah menangis, dan bisikan kedua pula menyebabkan Fatimah tersenyum. Kami hanya mengetahui perkataan tersebut setelah Rasulullah wafat.

Fatimah berkata, “Pada kali pertama, baginda memberitahukan kepadaku bahawa biasanya Jibril memperlihatkan Al-Quran sekali dalam setahun. Sementara pada tahun ini, dia memperlihatkannya dua kali. Baginda kemudiannya bersabda,” Aku tidak mengertikan yang demikian melainkan petanda ajal baginda kian hampir. Maka bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik orang-orang yang lebih dahulu berlalu bagimu adalah aku”. Maka aku (Fatimah) pun menangis. Ketika melihat kesedihanku, maka baginda bersabda,“Apakah engkau tidak redha sekiranya engkau menjadi pemimpin para wanita alam semesta atau para pemimpin wanita umat ini”. Maka, aku pun tersenyum.”

Sepeninggalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kesihatan Fatimah semakin merosot kerana ditimpa penyakit dan lantaran kesedihan yang sangat mendalam. Beliau akhirnya meninggal dunia pada malam selasa, tiga hari sebelum berakhirnya bulan Ramadhan pada tahun 11 Hijrah. Ketika itu, beliau baru berusia 29 tahun. Maka, benarlah apa yang pernah disebutkan oleh Rasulullah, bahawa beliau adalah orang yang pertama sekali dari keluarga baginda yang akan menyusuli pemergiannya.

NISA’ MUBASSYARAT BIL JANNAH!
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Wanita penghuni syurga yang paling utama ialah Khadijah bintu Khuwailid, Fatimah bintu Muhammad, Asiah bintu Muzahim, isteri Firaun dan Maryam bintu Imran”. [Diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim]

Hadis lain yang berisi khabar gembira buat Saidatina Fatimah sebagai penghuni syurga ialah hadis yang diriwayatkan oleh Hudzaifah Radiallahu anhu, bahawa Rasulullah bersabda,

“Malaikat turun kepadaku menyampaikan khabar gembira bahawa Fatimah bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”.

Yang pasti, di dalam kehidupan Saidatina Fatimah Az-Zahra’ Radiallahu anha ini, banyak riwayat yang mengindikasikan khabar gembira seperti ini. Beliau juga menduduki tingkat yang istimewa di antara puteri-puteri Rasulullah, sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnul Jauzy Radiallahu anhu, “Kami tidak mengetahui seorang pun di kalangan puteri-puteri Rasulullah yang menjadi penyandaran hadis selain Fatimah Radiallahu Anha”. Beliau meriwayatkan 18 hadis dari Rasulullah, yang dimuatkan di dalam Kutubus-sittah, yang sebahagian di antaranya ditakhrij dalam Ash-Shahihain, satu hadis Muttafaq Alaihi. Dan cukuplah keberkahan
bagi dirinya kerana keturunan Nabawi hanya berasal darinya.

Semoga paparan kisah Saidatina Fatimah Az-Zahra’ ini bakal dijadikan ikhtibar kepada para muslimah, lantaran watak peribadinya sebagai model sosok seorang anak yang berbakti kepada ibu bapanya, isteri yang sabar, wanita ahli ibadah, mujahidah, ibu yang bertakwa, yang taat,zuhud dan banyak memuji Allah serta mensyukuri nikmatNya. Semoga Allah meredhai Saidatina Fatimah Radiallahu anha, menempatkan beliau di makam tertinggi dan sesungguhnya Dia tidak pernah menyalahi janjiNya.

Wallahua’alam bisshowab.